PH, PN belum putuskan calon PRK

SEPANG 13 April – Pas menyerahkan kepada pucuk pimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk menentukan calon bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, pada 11 Mei depan.

Naib Presiden,  Mohd Amar Nik Abdullah, berkata pihaknya yakin PN boleh memenangi kerusi PRK DUN Kuala Kubu Bharu berdasarkan keadaan dan isu semasa yang membabitkan ketidakpuasan hati rakyat.

“Rakyat tidak puas hati dengan kenaikan harga barang selain masalah ekonomi. Dalam situasi ini, kita boleh meyakinkan rakyat mengenai kemampuan PN dan menang dengan bergaya.

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), gelombang sokongan rakyat kepada PN masih kekal,” katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Aidilfitri Pas Pengkalan Chepa, Kota Bharu, hari ini.

Mohd Amar berkata, berdasarkan persetujuan pada PRU15, calon PN bagi PRK DUN Kuala Kubu Bharu berkemungkinan ditandingi calon komponen PN iaitu Gerakan.

PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada 21 Mac lalu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo berkata, calon PH untuk PRK itu masih dalam perbincangan,

Gobind yang juga Pengerusi DAP Selangor berkata, pihaknya menerima banyak cadangan nama sebagai calon PH dalam PRK itu dan senarai nama berkenaan sedang dipertimbangkan.

“Perbincangan bersama PH Selangor sudah diadakan dan soal berkenaan calon itu akan diputuskan, kemudian dibawa ke peringkat pusat dengan jawatankuasa dianggotai lima pemimpin akan membuat keputusan.

“Kami berharap dapat memuktamadkan keputusan untuk meletakkan calon PRK Kuala Kubu Bharu dalam masa terdekat dan akan diumumkan sebelum hari penamaan calon,” katanya selepas upacara sembahyang Hari Vaisakhi di Gurdwara Sahib Khalsa Land Camp Site dekat Kuala Kubu Bharu, hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri yang lalu, Kee Hiong menewaskan calon PN, Henry Teoh Kien Hong dengan majoriti 4,119 undi. Turut bertanding calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Dr Siva Prakash yang mendapat 1,186 undi dan Chng Boon Lai daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan 527 undi.

Related posts

Leave a Comment