UMNO Sabah tampil muka baharu

KOTA KINABALU 3 April – UMNO Sabah telah mengenal pasti muka baharu untuk diturunkan sebagai calon di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Bung Moktar Radin berkata, muka baharu berkenaan sudah diminta selalu turun padang berjumpa rakyat di kawasan masing-masing.

Bbagaimanapun beliau menjelaskan setakat ini, pihaknya belum bersedia mendedahkan nama calon muka baharu yang meliputi anak muda itu, kerana tapisan masih dijalankan.

“Kita akan mempertimbangkan setiap calon muka baharu ini dengan sebaik mungkin kerana hakikatnya politik memerlukan proses panjang.

Kita mesti menampilkan calon muka baharu untuk meneruskan kesinambungan perjuangan parti. Kriteria yang saya tetapkan ialah disukai rakyat, boleh menang dan berintegriti” katanya pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah bersama media dan anak yatim, di sini, malam tadi

Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag berkata, beliau bersedia untuk melepaskan kawasan itu kepada calon muka baharu sekiranya ada yang boleh memperkukuh dan memperkuat UMNO, termasuk di kawasan berkenaan.

“Tetapi sebagai ketua panglima, saya rasa tidak boleh panglima ‘gostan’,” katanya.

Sementara itu, Bung Moktar berkata, UMNO Sabah akan mempertimbangkan kerjasama dengan mana-mana parti.

Katanya, yang penting ialah mesti ikhlas, berintegriti, mampu memberi kekuatan kepada parti dan tidak mengingkari perjanjian yang telah dilaksanakan.

Pada PRN16 September 2020, UMNO/Barisan Nasional (BN) yang bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) ketika itu bertanding di 31 daripada 73 kerusi DUN.

Related posts

Leave a Comment