Buang sikap malas dan lalai – Sultan Selangor

SHAH ALAM 27 Feb. – Penjawat awam di negeri ini dinasihatkan supaya membuang sikap malas dan lalai sebaliknya melakukan anjakan paradigma dalam setiap tugasan dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika menasihatkan demikian juga menitahkan agar kerenah birokrasi dan peraturan yang menyusahkan dalam urusan-urusan kerajaan dapat dikurangkan segera.

Baginda bertitah, perlu ada rasa untuk menyegerakan dan bertindak segera dalam memastikan perkhidmatan berkaitan rakyat diselesaikan dengan pantas dan sempurna.

“Beta tidak mahu sikap lalai dan malas terus diamalkan oleh penjawat awam sehingga menyebabkan banyak projek pembangunan tergendala atau berdepan masalah.

Besarlah harapan Beta untuk melihat negeri Selangor ditadbir dengan penuh integriti, berwawasan dan efisyen serta kekal dalam keamanan dan kesejahteraan.

“Rakyat Beta perlu diberikan perkhidmatan yang terbaik sesuai dengan pembangunan pesat yang dicapai hari ini dan Insya-Allah pada masa hadapan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke 15 di Bangunan DUN Selangor, SUK di sini hari ini.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Amirudin Shari.

Sultan Sharafuddin dalam titah itu, mengambil contoh projek tebatan banjir dan juga projek baik pulih kemudahan rakyat yang masih gagal dilaksanakan dengan segera.

“Beta amat bimbang sekiranya sikap dan kebiasaan sebegini masih ada dalam pemikiran penjawat awam, rakyat Beta yang akan terus menanggung akibatnya,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin sekali lagi mengingatkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) agar dapat melaksanakan syor baginda supaya keanggotaan ahli-ahli majlis terdiri daripada sekurang-kurangnya 50 peratus golongan professional dan tidak dimonopoli ahli politik.

“Dengan adanya langkah ini, diharap segala masalah dan aduan rakyat dapat ditangani dengan lebih baik menerusi inisiatif turun padang untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat.

“Beta mahu PBT dan jabatan yang memberi perkhidmatan terus kepada rakyat seperti Jabatan Kerja Raya, Jabatan Pengairan dan Saliran dan lain-lain memastikan penyelenggaraan harta awam diselenggara dengan baik.

“Ini termasuklah pembaikan jalan-jalan raya yang rosak, parit dan longkang yang tersumbat, lif di bangunan awam dan perumahan serta kemudahan untuk bersukan dan rekreasi,” titah baginda.

Baginda turut menitahkan semua Ahli Dewan Negeri (ADUN) Selangor bersidang dalam suasana yang harmoni supaya dapat memberikan manfaat kepada takyat dan juga negeri.

Related posts

Leave a Comment