Status bandar raya dorong perkhidmatan lebih cekap

KLANG 5 Feb. – Pengiktirafan Klang sebagai bandar raya perlu menjadi dorongan kepada pihak berkuasa menyediakan perkhidmatan yang lebih efisyen, kemudahan prasarana dan utiliti awam yang lebih baik serta menyediakan perkhidmatan perbandaran yang cekap, berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, tiada apa yang boleh dibanggakan dengan pencapaian status bandar raya sekiranya masalah keperluan asas rakyat pun tidak dapat diurus dengan baik.

Justeru titah baginda, demi kesejahteraan rakyat di Klang, perancangan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang perlu segera dilaksanakan termasuk mengambil serius keperluan asas rakyat terutamanya isu banjir.

Titah baginda, sekiranya berlaku air pasang besar dan diikuti pula dengan hujan yang lebat, banjir besar akan melanda sebahagian daripada daerah Klang dan akan menjejaskan kehidupan penduduk ini.

“Beta mengharapkan Datuk Bandar dan Ahli-ahli Majlis Bandaraya Diraja Klang mengambil serius tentang masalah ini dengan memikirkan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengatasinya.

Pelan rancangan rapi dan teratur perlu dilaksanakan dengan mengambil kira kedudukan Bandaraya Diraja Klang yang terletak di muara Sungai Klang.

Pendapat pakar-pakar perlu diperoleh bagi memastikan sebarang rancangan mengatasi masalah banjir ini dapat diatasi dengan berkesan,” titah baginda selepas menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang di Hotel Wyndham, di sini hari ini.

Klang adalah daerah keempat di Selangor dinaik taraf sebagai bandar raya selepas .

Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya..

Baginda juga mahu warga Klang berbangga dengan status Bandaraya Diraja ini dan sentiasa bekerjasama dengan pihak berwajib menjaga kebersihan khususnya di pesisir Sungai Klang, harta benda awam dan mengikuti peraturan yang ditetapkan bagi menjaga status Bandaraya Diraja ini selaras slogan ‘Klang Sihat dan Sejahtera’.

“Pihak penguat kuasa Bandaraya perlulah tegas dan melaksanakan tugas dengan berdisiplin dan berhemah,” titahnya.

Baginda juga mahu MBDK mempertingkatkan usaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada masyarakat demi memastikan warga Bandaraya Diraja Klang hidup dalam keadaan harmoni dengan persekitaran selamat untuk dihuni.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan juga kerajaan Persekutan yang berkenan dan bersetuju untuk menaik taraf Majlis Perbandaran Klang menjadi MBDK.

“Beta berasa sukacita kerana setelah melalui pelbagai peringkat, cabaran dan proses, Bandar Diraja Klang ini akhirnya dinaiktaraf kepada status bandaraya.

“Bandaraya Klang amat dekat di hati beta, bukan sahaja kerana ia menempatkan istana beta, Istana Alam Shah. Namun Klang juga menyimpan pelbagai sejarah kesultanan Selangor dan sejarah penubuhan Selangor itu sendiri,” titah baginda.

Baginda juga menyaksikan pembangunan bandar Klang melalui pelbagai fasa samada dari segi perubahan fizikal, sosial dan demografik mahupun populasi penduduk yang semakin meningkat setiap tahun.

“Beta bersyukur kerana Klang berjaya melalui pelbagai fasa kejayaan dan cabaran sejak zaman penjajahan sehinggalah hari ini yang membolehkan rakyat beta yang tinggal di Klang menikmati pembangunan dan kemajuan yang pesat,” katanya

Related posts

Leave a Comment