BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan akan memberikan keputusan pada 24 Januari ini sama ada Pita Limjaroenrat, bekas pemimpin Parti Move Forward Party (MFP) melanggar peraturan melarang Ahli Parlimen memiliki saham dalam syarikat media.
Pita, 43 yang memenangi pilihan raya Thailand Mei lalu tetapi tidak berpeluang memerintah, yakin akan mendapat keadilan selepas memberikan keterangan dalam kes mahkamah yang boleh menjejaskan kerjaya politiknya.
MFP memenangi kerusi terbanyak dalam pilihan raya umum Thailand tetapi Pita disekat daripada menjadi Perdana Menteri oleh pasukan konservatif yang menentang agenda reformasinya.
Pita disekat oleh Senator yang dilantik junta daripada menjadi Perdana Menteri, dan parti Pheu Thai membentuk gabungan yang merangkumi parti pro-tentera untuk memerintah Thailand.
Menurut Pita, walaupun mahkamah memutuskan dia boleh hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen, dia tetap akan bertanding semula.
“Saya berpuas hati dengan prosedur dan memberi keterangan seperti yang dirancang. Saya yakin akan menerima keadilan dan berharap dapat bekerja untuk rakyat,” katanya selepas memberi keterangan kepada mahkamah secara tertutup.
Ketika tiba di mahkamah pada awal pagi semalam, Pita berkata, beliau tidak mempunyai sebarang kebimbangan mengenai kes itu.
Kes terhadapnya membabitkan pemilikan saham dalam stesen televisyen ITV yang sudah lama tidak berfungsi, yang menurut Pita diwarisi selepas bapanya meninggal dunia.
MFP mendapat sokongan daripada golongan muda yang bosan dengan pemerintahan tentera hampir sedekad untuk memastikan kemenangan mengejut dalam pilihan raya pada Mei, menewaskan parti Pheu Thai.
MFP berjanji untuk memperbaharui undang-undang menghina Raja Thailand yang ketat, serta rancangan untuk memecahkan monopoli perniagaan dan menamatkan pengaruh tentera dalam politik mencetuskan ketakutan golongan elit.
