PUTRAJAYA 20 Dis. – Syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, menggunakan bendera negara itu atau kapal dalam perjalanan menuju ke sana, dilarang berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan Malaysia.
Perdana Menteri Seri Anwar Ibrahim berkata, larangan itu berkuat kuasa serta merta.
Susulan itu, larangan tersebut turut membabitkan kapal milik syarikat ZIM berpangkalan di Israel yang dijadual berlabuh di Westports, Pelabuhan Klang pada 26 Disember ini.
Anwar dalam kenyataannya berkata, Kementerian Pengangkutan akan mengambil tindakan segera dengan mengenakan larangan kekal terhadap syarikat ini berkuatkuasa empat minggu dari sekarang.
“Sekatan ini adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin,” katanya.
Sebelum ini terdapat desakan supaya kerajaan menghalang kapal Israel berlabuh di negara ini.
Anwar juga menarik perhatian, Kabinet pada 2002 mula membenarkan kapal milik syarikat ini berlabuh di Malaysia, begitu juga pada 2005 dan hari ini kerajaan memutuskan untuk membatalkan semua keputusan lalu.
Malaysia yakin keputusan tersebut tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia.
Nn
