Covid-19: Kematian pertama kanak-kanak bawah 12 tahun

SINGAPURA : Seorang kanak-kanak lelaki warga Singapura berusia 13 bulan yang dijangkiti Covid-19, meninggal dunia pada 12 Oktober lalu,  kematian pertama pesakit Covid-19 bawah usia 12 tahun di sini bagi tahun ini.

Menurut laporan Mediacorp, Kementerian Kesihatan (MoH) menyatakan kanak-kanak tersebut “tidak diberi suntikan vaksin bagi Covid-19” dan “mempunyai sejarah perubatan ketara berkait keadaan kongenital” dengan prognosis yang lemah sebelum dijangkiti virus tersebut.

Menjawab pertanyaan Mediacorp semalam, MoH menyatakan kanak-kanak itu diuji positif bagi Covid-19 pada 10 Oktober 2023 dan dimasukkan ke hospital pada hari yang sama.

“Pesakit itu meninggal dunia pada 12 Okt, dan punca kematiannya adalah disebabkan jangkitan akut Covid-19, dengan keadaan kongenitalnya menjadi punca penyumbang.” kata MoH.

MoH juga mengesahkan kes itu sebagai kematian pertama di Singapura akibat Covid-19 dalam kalangan pesakit bawah usia 12 tahun bagi tahun ini.

Tahun lalu, tiga kanak-kanak meninggal dunia disebabkan Covid-19, manakala tiada kematian Covid-19 dicatat dalam kalangan kanak-kanak pada 2020 ataupun 2021.

“Risiko dijangkiti Covid-19 yang teruk dalam kalangan kanak-kanak kecil adalah lebih rendah berbanding golongan dewasa, tetapi keadaan teruk masih boleh berlaku, terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan yang tersembunyi dan yang belum diberi suntikan vaksin terhadap Covid-19,” menurut MoH.

Kementerian itu juga menggesa semua individu berusia enam bulan ke atas untuk memastikan status vaksinasi Covid-19 mereka dikemas kini, berdasarkan saranan terkini bagi mereka.

Pada Oktober lalu, Singapura mengemas kini saranan vaksin Covid-19 di negara ini, yang menggalak mereka berusia enam bulan ke atas untuk mendapatkan suntikan tambahan pada 2023 atau 2024.

Individu yang layak boleh mendapatkan suntikan tambahan kira-kira setahun – dan bukan lebih awal daripada lima bulan – selepas suntikan terakhir mereka.

Related posts

Leave a Comment