SINGAPURA 16 Nov. – Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menjangkakan aliran trafik sesak di kedua-dua pusat pemeriksaan Woodlands dan Tuas semasa tempoh cuti sekolah dari 16 November hingga 2 Januari ini.
Dalam nasihat perjalanan hujung tahunnya, pemandu mungkin harus menunggu sehingga tiga jam untuk melepasi imigresen semasa waktu puncak.
ICA menarik perhatian bahawa semasa hujung minggu sempena cuti Deepavali dari 10 hingga 13 November, kesesakan berlaku dengan 1.53 juta orang melalui pusat pemeriksaan darat
“Ini melebihi jumlah pengguna pada hujung minggu Hari Pekerja dan Hari Vesak tahun ini,” kata ICA dalam kenyataannya semalam.
Justeru ICA menasihatkan pemandu untuk memeriksa keadaan trafik di pusat pemeriksaan sebelum memulakan perjalanan melalui laman web One Motoring Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), atau Sistem Pemantauan dan Nasihat Ekpreswei di Ekspreswe Bukit Timah (BKE) dan Ekspreswe Ayer Rajah (AYE).
Mereka juga boleh mendapatkan kemas kini melalui akaun Facebook dan Twitter ICA.
Pemandu harus mengelak daripada memotong barisan kerana ia akan menyebabkan kesesakan yang teruk dan menjejas keselamatan pemandu lain, tambah agensi itu.
ICA mengingatkan pemandu yang memotong barisan akan diarahkan untuk berpatah balik dan beratur semula.
Sementara itu, pelawat di pusat pemeriksaan Singapura dinasihatkan supaya jangan mempamerkan atau memakai lambang berkaitan konflik Israel-Hamas secara terbuka.
Agensi tersebut menekankan, langkah-langkah keselamatan di pusat pemeriksaan dipertingkat, susulan keadaan di Timur Tengah yang masih bergolak, dan ia mungkin akan menambah masa menunggu.
