Hamas: Malaysia terima tiga notis daripada Kedutaan AS

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Malaysia menerima tiga notis tata tindak daripada Kedutaan Amerika Syarikat (AS) susulan keengganan negara menganggap Hamas sebagai kumpulan pengganas, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata, notis rasmi yang dipanggil demarche itu diterima Kementerian Luar masing-masing pada 13 dan 30 Oktober lalu manakala satu lagi notis rasmi yang dihantar terus kepada duta besar Malaysia di Washington.

“Oleh kerana keengganan kita untuk membantah tindakan Hamas dan tidak menganggap Hamas sebagai pengganas, saya mendapat maklumat, Kementerian Luar menerima demarche iaitu tata tindak daripada Kedutaan AS sebanyak dua kali iaitu pada 13 dan 30 Oktober lalu serta sekali (satu lagi notis) kepada duta besar.

Ia disebabkan pendirian kita terutama keengganan kita menganggap Hamas itu sebagai badan pengganas.

“Saya sudah menjawab dalam majlis di stadium baru-baru ini, saya tegaskan Malaysia kekal dengan pendirian bebas dengan pertimbangan kemanusiaan dan menganggap pencerobohan itu (salah) dari segi undang-undang dan kaedah antarabangsa kerana perkara ini sudah berlarutan berdekad sejak 1948,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMTQ) di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar sebelum ini mendedahkan beliau menerima banyak ugutan daripada negara luar, susulan ketegasan Malaysia mempertahankan nasib rakyat Palestin.

Susulan itu, Perdana Menteri berkata, selagi diberi mandat dan kepercayaan oleh rakyat, selaku ketua kerajaan beliau tidak akan tunduk dan gentar dengan sebarang ugutan.

Perdana Menteri turut mendedahkan ada seorang ahli Parlimen dari Eropah bertindak mengusulkan sekatan terhadap Malaysia kerana kelantangan memperjuangkan isu Palestin.

Dalam pada itu beliau menggesa semua pihak segera menumpukan perhatian kepada malapetaka kemanusiaan yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza yang disifatkan pembunuhan beramai-ramai dan disengajakan.

“Ini bukti yang mengejutkan berhubung serangan tanpa henti hasil pencerobohan Israel, kekejaman dan sikap tidak berperikemanusiaan. Ini bukan perang Palestin-Israel, ia bukan sama sekali perang,” katanya.

Katanya, Malaysia mengecam kekejaman dan penindasan dilakukan Israel terhadap Palestin, apabila kerakusan rejim Zionis yang melangkaui batas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa hingga mengakibatkan ribuan nyawa terkorban.

Beliau berkata, maklumat yang diperoleh daripada pihak berkuasa di Gaza menunjukkan seramai 8,805 rakyat Palestin terbunuh, manakala hampir 20,000 cedera akibat kerakusan dilakukan rejim Zionis itu.

Daripada jumlah itu, Anwar mendedahkan, sebanyak 3,600 mangsa adalah kanak-kanak.

Perdana Menteri berkata, keadaan di Palestin jelas menggambarkan berlaku pelanggaran undang-undang antarabangsa ekoran tindakan dilakukan Israel terhadap penduduk negara berdaulat terbabit.

“Kita mengutuk keganasan dan semua bentuknya. Kita mengutuk sekeras-kerasnya tindakan membunuh orang tidak bersalah dan menjadikan wanita serta kanak-kanak sebagai tebusan.

“Pada masa sama, kita juga tegas mengutuk pengeboman tentera Israel terhadap orang awam, kediaman, hospital dan pembunuhan beramai-ramai terhadap nyawa tidak bersalah, kanak-kanak termasuk kaum wanita dan lelaki, yang terus berlangsung tidak kira siang dan malam.

“Perbuatan jenayah ini jelas melanggar norma undang-undang antarabangsa. Selain itu, tindakan Israel memotong penyaluran bekalan makanan, air, bantuan kemanusiaan dan elektrik jelas adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata dengan apa yang berlaku di bumi Palestin,ia satu peringatan yang memeritkan terhadap perjuangan demi mencapai keadilan yang masih tidak menentu.

“Adalah satu tugas yang bodoh untuk berfikir bahawa Malaysia tidak terjejas dengan apa yang berlaku di dunia. Kami adalah sebuah negara perdagangan yang terbabit secara aktif dalam perdagangan dan ekonomi serantau dan antarabangsa.

“Jadi Malaysia terikat rapat dengan apa yang berlaku di seluruh dunia. Justeru, sebagai negara yang merdeka, kita terus menyatakan hak dan pendirian kita dalam isu keadilan dan kebebasan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.

Related posts

Leave a Comment