Hanya satu petisyen bantahan di DUN Selangor

SHAH ALAM 27 Okt. –  Hanya satu petisyen bantahan terhadap keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) dikemukakan, membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia yang dikemukakan oleh Barisan Nasional (BN).

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, Pakatan Harapan (PH) pula tidak meneruskan petisyen terhadap tiga keputusan PRN bagi  DUN Taman Medan, Sungai Kandis dan Dengkil.

Amirudin yang juga Pengerusi PH negeri berkata beliau akan menyemak keputusan itu dengan pihak guaman PKR yang ditentukan melalui Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) parti.

“Petisyen bagi Gombak Setia sudah dihantar, yang lain (tiga DUN) dalam penelitian, tetapi saya difahamkan pihak peguam PKR merasakan kes-kes tersebut tidak mahu diteruskan, jadi itu kita serahkan kepada Jabatan Pilihan Raya Pusat (JPRP) (parti).

“Kita akan tengok balik kenapa tempoh hari tidak dimajukan (diteruskan),” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Sebelum ini, petisyen itu dicadangkan berikutan majoriti kemenangan yang diperoleh di kawasan berkenaan adalah rendah iaitu DUN Sungai Kandis 167 undi, Taman Medan (30), Gombak Setia (58) dan Dengkil sebanyak 407 undi.

Pada PRN lalu, di Gombak Setia, Hilman Idham (PN) menang dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh sebanyak 30,299 undi berbanding calon BN  Megat Zulkarnain Omardin, 30,241 undi.

Sementara di Sungai Kandis, bekas Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Mohd Zawawi Ahmad Mughni tewas kepada Ketua Bahagian Bersatu Kota Raja, Wan Dzahanurin Ahmad (PN) dengan undi yang diperolehi masing-masing sebanyak 28,759 dan 28,926 undi.

Di Taman Medan pula, Setiausaha PN Selangor, Dr Afif Bahardin memperoleh 22,316 undi menewaskan wakil PH, Ahmad Akhir Pawan Chik yang ketinggalan tidak jauh dengan jumlah undi sebanyak 22,286.

Manakala bagi DUN Dengkil, Noorazli Said daripada BN tewas kepada wakil PN,  Jamil Salleh dengan jumlah undi diperolehi masing-masing iaitu 33,154 dan 33,561 undi.

(Foto dari kiri Jamil, Wan Dzahanurin dan Dr Afif)

Related posts

Leave a Comment