SEPANG 13 Okt. – Stesen Batu Pahat, Johor masih mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat apabila merekodkan bacaan 152 berbanding 155 semalam.
Berdasarkan kemas kini terbaharu di laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) 10 pagi ini, IPU tidak sihat juga direkodkan di Alor Gajah, Melaka iaitu 151.
Sementara itu, 19 stesen di Semenanjung merekodkan IPU pada tahap baik apabila mencatatkan bacaan di bawah 50. Antaranya Kangar (21), Langkawi (30), Sungai Petani (45), Besut (35) dan Indera Mahkota Kuantan (48).
Bagi Sabah dan Sarawak, 11 stesen mencatatkan bacaan di bawah 50 termasuk Sandakan (44), Kimanis (22), Sarikei (48) dan Mukah (46).
Sementara itu, 47 lagi stesen di seluruh negara mencatatkan bacaan melebihi 50, namun masih dikategorikan sebagai sederhana.
Untuk rekod, bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara yang baik, 51-100 sederhana, 101-200 tidak sihat, 201-300 sangat tidak sihat dan IPU melebihi 300 adalah berbahaya.
