KUALA LUMPUR 25 Sept. – Dr Wee Ka Siong berharap barisan kepemimpinan baharu MCA bersedia menggalas tanggungjawab berat yang diberikan akar umbi untuk mengembalikan kegemilangan MCA.
Beliau yang mempertahankan jawatan Presiden MCA bagi penggal kedua berharap mandat yang diberikan dapat memberi suntikan semangat kepada mereka yang dipilih dalam pemilihan yang berlangsung semalam.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada pengundi dan berharap, pasukan yang baharu dipilih ini bersedia menggalas tanggungjawab berat yang diberikan akar umbi untuk mengembalikan kegemilangan MCA,” katanya malam tadi.
Ka Siong mempertahankan jawatan setelah memperoleh 569 undi mengalahkan pencabarnya ,Tan Chong Seng yang mendapat 11 undi.
Terdahulu, bagi jawatan Timbalan Presiden, Dr Mah Hang Soon mengekalkan jawatannya selepas tidak dicabar pada pemilihan parti peringkat pusat yang bermula Sabtu lalu.
Manakala jawatan Naib Presiden pula dimenangi oleh Lim Ban Hong dan Tan Teik Cheng yang mempertahankan jawatan masing-masing selepas mendapat 477 dan 469 undi.
Dua muka baru jawatan Naib Presiden dimenangi oleh Timbalan Bendahari Agung, Lawrence Low Ah Kiong dan Ahli Jawatankuasa Pusat, Dr Wee Jeck Seng masing-masing memperoleh 470 dan 496 undi.
Ti Lian Ker gagal mempertahankan jawatannya itu selepas hanya mampu memperoleh 136 undi. Calon lain yang tewas adalah Ketua Wanita MCA Sabah, Dr Pamela Yong dan bekas Ketua Pemuda Kebangsaan, Nicole Wong.
Mengulas kemenangan itu, Ka Siong menyifatkan ia adalah kepercayaan yang diberi sekali lagi oleh akar umbi kepada beliau.
“Dengan terbentuknya pasukan baru empat jawatan naib presiden, saya yakin kita boleh merencanakan strategi dan juga pelbagai program untuk memastikan parti ini boleh melakukan sesuatu yang seiring dengan peredaran zaman,” katanya.
Diminta mengulas dua muka baharu dalam jawatan naib presiden, Ka Siong meminta semua pihak menunjukkan kematangan dalam berpolitik selain meletakkan kepentingan parti melebihi segalanya.
“(Pemilihan) ini adalah proses demokrasi di mana perwakilan di peringkat bahagian mengundi dan, mereka telah memutuskan seperti malam ini,” katanya.
Ka Siong berkata semua calon adalah aset parti dan perwakilian menghadapi kesukaran memilih hanya empat daripada tujuh calon yang bertanding.
Sementara itu 24 orang turut disenaraikan sebagai ahli jawatankuasa pusat parti itu.
