PETALING JAYA 5 Sept. – Peguam Negara Idris Harun harus memberikan penjelasan terbuka berhubung faktor yang mendorong Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk melepas tanpa membebaskan (DNAA) 47 kes yang melibatkan Ahmad Zahid Hamidi.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, penjelasan ini penting untuk memastikan keyakinan orang ramai dan masyarakat antarabangsa terhadap sistem perundangan negara sentiasa terpelihara.
“DAP mengambil maklum pandangan kritikal daripada pelbagai pihak dan orang ramai terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Permohonan DNAA daripada pihak pendakwaan untuk menamatkan prosiding sementara membuat siasatan lebih terperinci adalah budi bicara Peguam Negara dan diputuskan oleh mahkamah.
DAP menghormati proses dan keputusan mahkamah, namun demi prinsip keadilan dan akauntabiliti, Peguam Negara harus memberikan penjelasan terbuka berkenaan keputusan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan lima para.
Loke berkata , DAP juga akan sentiasa menjunjung prinsip pengasingan kuasa di antara cabang kehakiman, eksekutif dan legislatif serta memastikan tidak ada campur tangan eksekutif dalam sebarang kes mahkamah.
Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepaskan Ahmad Zahid tanpa dibebaskan daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.
Hakim Collin Lawrence Sequerah, melepas tanpa membebaskan Ahmad Zahid, selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar, yang memaklumkan Jabatan Peguam Negara ingin memberhentikan semua prosiding terhadap beliau pada peringkat ini.
