COPENHAGEN : Denmark bercadang melarang pembakaran al-Quran selepas rentetan penghinaan terhadap kitab suci Islam di negara Scandinavia itu mencetuskan kemarahan negara Islam.
Menteri Undang-Undang, Peter Hummelgaard, berkata, rang undang-undang (RUU) akan dibentangkan yang akan melarang perlakuan tidak sesuai terhadap objek mempunyai kepentingan agama yang penting kepada komuniti.
Beliau berkata, perundangan itu ditujukan terutamanya kepada sebarang bentuk pembakaran dan kerosakan di tempat awam.
Hummelgaard berkata, pembakaran al-Quran adalah tindakan yang pada asasnya menghina dan tidak bersimpati sehingga boleh memudaratkan Denmark dan kepentingannya.
Perundangan baru itu akan dimasukkan dalam Bab 12 Kanun Keseksaan Denmark, yang meliputi keselamatan negara dan akan juga digunakan kepada kitab Bible, Taurat atau simbol, contohnya salib.
“Kami tidak boleh terus berdiam diri, sementara beberapa individu melakukan segala yang mereka mampu untuk mencetuskan reaksi ganas,” katanya.
Hummelgaard berkata, keselamatan negara adalah keutamaan bagi pelaksanaan larangan itu yang membolehkan seseorang yang melanggar undang-undang itu berisiko didenda dan dihukum penjara dua tahun.
