KUALA LUMPUR 26 Ogos – Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang akan dilaksanakan pada tahun hadapan di sekolah di negara ini, amat bertepatan dengan keperluan semasa dan tidak perlu dipolemikkan.
Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz. berkata pihaknya menghormati pengumuman oleh Kementerian Pendidikan (KPM) itu untuk melaksanakan modul dalam lingkungan pelajar beragama Islam sahaja.
“Malah, pelaksanaan modul ini bertepatan dengan keperluan semasa dan masa hadapan negara untuk memupuk amalan kesederhanaan yang dianjurkan sebagai nilai hidup dalam kalangan generasi muda muslim khususnya,” katanya dalam kenyataan di sini.
KPM melancarkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi bertujuan memupuk penghayatan hadis bermula di peringkat sekolah yang akan mula dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), sebelum diedarkan ke sekolah di bawah KPM tahun depan.
Muhammad Faisal berkata, hadis 40 yang dikumpulkan Imam Nawawi mencakupi penerapan nilai murni serta akhlak mulia berdasarkan sumber rujukan serta autoriti yang jelas daripada hadis yang sahih.
Katanya, ia sekali gus dapat membasmi fahaman melampau dalam beragama daripada berleluasa di negara ini kerana ia tidak disandarkan pada apa-apa autoriti agama yang kukuh.
“Dengan penerapan modul himpunan hadis 40 Imam Nawawi ini secara langsung dapat menjadi kunci untuk memastikan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini dapat terus dipelihara,” katanya.
Pada masa sama beliau berkata, ABIM juga menegaskan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Islam sebagai agama persekutuan tidak hanya bersifat ritual.
Sebaliknya katanya, tafsiran kepada peruntukan Perlembagaan itu adalah meluas mencakupi Islam sebagai agama dan cara hidup sempurna Muslim di Malaysia.
Muhammad Faisal berharap, semua pihak berlapang dada serta menghormati inisiatif kerajaan khususnya dalam membawa pendidikan Islam yang sememangnya sejajar dengan nilai murni masyarakat Malaysia.
Sementara itu Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) menyelar tindakan Majlis Perundingan Agama Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST) yang menolak pengajian penghayatan hadis 40 Imam Nawawi di sekolah.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid, berkata MCCBCHST tidak berhak mempersoal usaha Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memupuk ilmu dan nilai Islam yang betul kepada pelajar Islam berdasar rujukan al-Quran dan hadis.
Beliau berkata, kenyataan MCCBCHST bahawa Islam harus terbatas hanya kepada urusan peribadi dan majlis rasmi yang bersifat “ceremonial” semata-mata, jelas menunjukkan cuba campur tangan dalam hal ehwal dan pengajian Islam.
“Kami ingin mengingatkan kepada pihak berkenaan jangan cuba mengganggu dan campur tangan dalam urusan Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, MCCBCHST menyatakan kebimbangan mendalam terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.
MCCBCHST berkata, bahawa Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia menerima arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka.
Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata, pendidikan Islam yang berteraskan pengajian al-Quran dan hadis sebati dalam pendidikan Islam untuk melahirkan pelajar Muslim berakhlaq mulia dan insan berintegriti.
Katanya, ugutan pihak berkenaan mahu mengambil tindakan undang-undang jika penggunaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi dijadikan pengajian untuk pelajar Islam adalah provokasi yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Kami akan mengambil tindakan undang-undang kerana MCCBHST cuba mencabar kuasa pihak agama Islam apabila menuntut Islam hanya agama terikat sebagai ritual dan untuk acara rasmi semata-mata.
“Mereka mencabar pihak berkuasa pendidikan negara yang mahu menerapkan rujukan Islam dalam sistem pendidikan. Bantahan itu nampaknya sangat jelas mahu mempersoalkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.
Sehubungan itu, MAPIM menuntut MCCBHST menarik balik kenyataannya dan menghentikan sebarang kempen senyap untuk mempersoalkan kedudukan Islam di negara ini.
