UMNO parti picisan, BN terkubur?

KOTA BHARU : Tan Sri Annuar Musa mendakwa UMNO hilang kekuatan apabila sekadar menjadi picisan di bawah naungan dua parti lain dalam Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Muafakat Nasional (MN) itu, berkata UMNO tidak boleh lagi menjadi tempat bergantung orang Melayu dan umat Islam.

“UMNO bukan lagi parti yang memerintah negara tetapi hanya picisan yang duduk di bawah naungan dua parti politik yang membawa ideologi berbeza khususnya parti yang membawa dasar pluralisme, liberalis dan sosialis sementara UMNO memilih sekadar menjadi murid.

“UMNO sekadar menjadi penumpang dan pelengkap kerana parti itu sudah tidak ada suara. Tujuh, lapan negeri, namun UMNO tidak ada satu kerusi Parlimen.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang, hanya ada enam kerusi saja UMNO bertanding dan di Selangor daripada 56 kerusi hanya 11 kerusi (UMNO) boleh bertanding,” katanya di Ceramah Mega Pakat Pertahan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, Tumpat, malam tadi.

Bekas Setiausaha Agung UMNO itu berkata, Barisan Nasional (BN) yang menjadi naungan kepada UMNO sudah terkubur awal.

Menurutnya, MCA dan MIC sudah tidak ada dalam pilihan raya kali ini walaupun gambar dacing masih dipakai. Hakikatnya BN sudah hampir terkubur dan UMNO sendiri sudah hilang kekuatan serta keupayaannya hanya menjadi sebuah parti suruhan yang mempunyai ideologi sangat berbeza.

“Dalam senario sebegini parti apakah yang bakal mempertahankan dan menyelamatkan orang Melayu serta umat Islam dalam negara kita.

“Parti, gabungan manakah yang mempunyai kekuatan dan dukungan rakyat yang cukup untuk memastikan negara ini tonggak kepemimpinannya serta teras pentadbirannya, tunjang kekuatannya masih kekal di tangan umat Islam dan orang Islam yang berupaya memberi keadilan serta rahmat kepada semua.

“Dalam negara kita umat Islam menjadi majoriti dan bukan Islam tidak perlu menaruh kebimbangan kerana Rasulullah SAW menunjukkan contoh tauladan bahawa Islam adil untuk semua orang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment