Amanah Selangor tanding 9 kerusi

SHAH ALAM 13 Julai – Amanah Selangor akan mempertahankan lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Pengerusinya Izham Hashim.

Katanya, Amanah diperuntukkan sembilan daripada 56 kerusi DUN di mana satu kerusi di Hulu Bernam, ditukar dengan Barisan Nasional (BN) manakala satu lagi kerusi Jeram diserah kepada BN.

Dalam satu temu bual dengan Bernama, beliau memaklumkan, Amanah akan mempertahankan DUN Sabak, Meru, Pandan Indah, Hulu Kelang, Morib, Seri Serdang, Sungai Ramal dan Taman Templer.

Katanya, jawatankuasa calon telah selesai memilih calon yang menampilkan muka baharu dan lama serta anak muda dan akan dimuktamakan oleh kepemimpinan peringkat tertinggi parti hari ini dan akan diumumkan setelah selesai.

“Calon-calon yang dipilih haruslah mempunyai kriteria yang ditetapkan seperti kelulusan akademik, pengalaman dalam politik, boleh bekerja dan berjawatan di dalam parti,” katanya.

Beliau berkata pihaknya percaya mampu mempertahankan sekurang-kurangnya lapan kerusi pada PRN kali ini.

“Kami dah perintah Selangor tiga penggal, kita boleh lihat stabil, makmur dan sejahteranya Selangor ini. Tiada sebab pengundi mahu membuat pertukaran,” katanya.

Pada PRU14, PH mendominasi Selangor dengan memenangi 51 kerusi, diikuti BN dan PAS masing-masing mendapat empat dan satu kerusi.

Kedudukan semasa kerusi sebelum DUN dibubarkan ialah PH mempunyai 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) (dua) manakala Pas, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang wakil rakyat Bebas.

Kerusi Batang Kali pula diisytiharkan kosong pada Februari lepas setelah wakil rakyatnya tidak hadir ke persidangan DUN melebihi enam bulan.

Related posts

Leave a Comment