IPOH 25 Mei – Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) tahun ini, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan memberi peluang dan penghormatan kepada pengamal media membaca Khutbah Jumaat di beberapa masjid di negeri ini esok .
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Mohd Annuar Zaini, dalam satu kenyataan, berkata Sultan Nazrin menitahkan agar Khutbah Jumaat di negeri Perak esok bertemakan “Kewartawanan: Menyempurnakan Tugas Berlandaskan Nilai-nilai Islam.”
Beliau berkata, peluang itu diberikan sebagai mengiktiraf peranan penting wartawan kepada negara.
“Jabatan Penyiaran Negeri Perak serta Persatuan Pengamal Media Perak telah mengemukakan tiga nama pengamal media kepada Pengarah Jabatan Agama Islam Perak untuk mendapat tauliah membaca khutbah di tiga masjid di negeri Perak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, Pengarang Berita (Rencana & Agama) BH, Nazmi Yaakub diperkenankan tauliah untuk membaca Khutbah Jumaat di Masjid Negeri, Masjid Sultan Idris Shah II.
Dua lagi pengamal media yang diberikan perkenan tauliah ialah Saifullah Ahmad dari Sinar Harian yang ditugaskan menyampaikan khutbah di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh manakala Mohd Fahmi Mohd Nor dari RTM bakal menyampaikan khutbah di Masjid Muhibbuddin Shah, Ipoh.
Sambutan HAWANA 2023 akan diadakan di Ipoh dari 27 hingga 29 Mei ini dengan mengangkat tema “Media Bebas, Tunjang Demokrasi” untuk memberi penekanan semula terhadap isu kebebasan media dalam menjalankan tugas mereka.
Sebelum ini, sempena sambutan Hari Guru, enam guru dan lapan pegawai pendidikan diberikan Guru penghormatan oleh Sultan Nazrin bagi menyampaikan khutbah Jumaat bertemakan, ‘Guru Insani Pemangkin Membangunkan Masyarakat Bertamadun’ di masjid negeri dan masjid daerah di Perak.
Manakala sempena Hari Belia Negara, Sultan Nazrin turut memperkenankan 24 pemimpin belia di negeri diberikan penghormatan membaca khutbah sebagai mengiktiraf peranan penting generasi belia.
