KUALA LUMPUR 25 Mei – Hanya individu yang berkelayakan dilantik menerajui Lembaga Pengarah Badan Berkanun Persekutuan (BBP) dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Beliau memberitahu, pelantikan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) BBP dan syarikat MKD bukan sekadar mengisi jawatan, sebaliknya disuaipadan berdasarkan keperluan setiap institusi itu, dengan mengambil kira latar belakang dan kebolehan seseorang individu daripada pelbagai sudut.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata Pengerusi dan ALP dalam BBP dan syarikat MKD dilantik berdasarkan kemampuan, kepelbagaian latar belakang dan kepakaran bersesuaian.
Di samping itu ia juga mengambil kira keperluan dan tunjang perniagaan BBP dan syarikat itu sendiri, bagi membolehkan Lembaga Pengarah berkenaan beroperasi pada tahap optimum.
Katanya, pelantikan dibuat berdasarkan kelayakan pendidikan, di mana kriteria minimum bagi calon ALP adalah sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda atau kelayakan akademik dan profesional lain yang setara.
Begitu juga pengalaman berkhidmat dalam industri atau bidang berkaitan, kepakaran bersesuaian atau kemahiran khusus lain yang relevan dalam industri berkaitan.
Kriteria berkenaan adalah kaedah bagi meningkatkan keupayaan barisan kepemimpinan ALP BBP dan syarikat MKD dengan memperluas serta mempelbagaikan lagi komposisi ahlinya dari segi kemampuan, kepakaran dan pengalaman.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata, pengalaman sama ada dalam bidang operasi, teknikal, profesional atau pendedahan spesifik kepada sektor berkaitan adalah penting bagi memastikan individu yang tepat dengan kemahiran yang betul dipilih.
Beliau menjawab soalan  Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mengenai dasar dan kriteria yang ditetapkan kerajaan terhadap lantikan politik, sebagai Pengerusi dan ALP di BBP,syarikat berkaitan kerajaan (GLC), perbadanan milik kerajaan, agensi kerajaan serta institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Perdana Menteri berkata, penekanan juga akan diberikan kepada nilai personaliti individu dengan mengambil kira aspek integriti dan kebertanggungjawaban dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
Perkara itu penting bagi memastikan komposisi Lembaga Pengarah yang mantap ke arah memantau pencapaian prestasi syarikat serta memastikan tadbir urus baik sentiasa dipatuhi, selain menggalakkan kepelbagaian di bawah Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG) 2021.
“Bagi setiap lantikan Lembaga Pengarah termasuk lantikan ahli politik, proses saringan yang sewajarnya akan dilaksanakan bagi memastikan individu berkenaan berupaya memenuhi peranan dan tanggungjawabnya sebagai pengarah dengan berkesan sebagaimana digariskan dalam Prinsip Tadbir Urus Baik bagi Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan,” katanya.
Bagi syarikat MKD yang tersenarai di Bursa Malaysia, Perdana Menteri memaklumkan, pencalonan seseorang individu sebagai Pengerusi/ALP syarikat akan diteliti melalui pertimbangan Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan (NRC) serta Lembaga Pengarah syarikat masing-masing, sebelum dikemukakan untuk tapisan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan seterusnya kepada Bursa Malaysia untuk pengumuman.
Pada masa sama katanya, selaras dengan keperluan Akta Syarikat 2016, setiap calon ALP bagi semua syarikat MKD perlu melalui beberapa tapisan sebagai prosedur tambahan, sebelum dilantik sebagai sebahagian daripada usaha memperkemas tadbir urus pelantikan ALP syarikat.
