Had jumlah bendera, sepanduk kempen

PUTRAJAYA 8 Mei – Bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mencadangkan jumlah bendera, sepanduk atau papan iklan dihadkan bagi setiap kawasan ditandingi pada pilihan raya bagi menjimatkan perbelanjaan, sekali gus mengurangkan risiko rasuah.

Katanya, jika kerajaan benar-benar ingin menghapus rasuah, cara terbaik ialah dengan mengehadkan perbelanjaan oleh parti semasa pilihan raya.

“Katakanlah jika parti letak calon dalam satu kawasan, hanya 100 bendera, 20 sepanduk dan dua papan iklan dibenar, maka kos kempen tidak akan menjadi tinggi. Saingan antara parti yang kaya dan miskin akan jadi lebih adil,” katanya menerusi ciapan di Twitter, hari ini.

Dr Mahathir berkata, sogokan boleh dikurangkan dengan orang ramai menggunakan kamera untuk merekod dan melapor, begitu juga pihak polis dan badan pencegah rasuah juga boleh menggunakan kamera.

Katanya, jika terdapat tiga kes sogokan, pencalonan parti berkenaan perlu dibatal.

“Memang sogokan kepada pengundi boleh disembunyi. Tetapi amalan sogokan secara terbuka, seperti dilakukan dalam PRU-15 (Pilihan Raya Umum Ke-15) akan dikurangkan. Sedikit sebanyak ia berkesan dalam pengurangan sogokan.

Jika satu dua kes dikenakan tindakan, parti akan lebih berjaga-jaga dan tidak akan sogok wang secara boleh dikesan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, apa paling penting adalah mengehadkan keghairahan memasang bendera, sepanduk dan papan iklan dikurangkan.

“Pertandingan akan jadi lebih adil. Yang kurang kewangan pun boleh harap menang. Pada masa sama rasuah akan dikurangkan kerana kempen tidak perlu dana yang besar,” katanya.

Related posts

Leave a Comment