ALOR SETAR 18 Mac – Bekas Menteri Besar, Ahmad Bashah Md Hanipah membuat penampilan semula apabila memenangi jawatan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar dalam pemilihan parti, hari ini.
Keputusan tidak rasmi menyaksikan Ahmad Bashah menang selepas meraih 306 undi berbanding bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Zambri Mat yang memperoleh 141 undi.
Jawatan ketua bahagian itu kosong berikutan penyandang Datuk Mohd. Yusof Ismail digantung parti sebelum ini.
Turut menang adalah anak kepada bekas Perdana Menteri, Mohd Nazifuddin Najib yang menewaskan lawannya, Nor Saidi Nanyan, bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Langkawi.
Nazifuddin menang majoriti 12 undi selepas meraih 245 undi berbanding Saidi yang mendapat 234 undi.
Jawatan ketua bahagian itu kosong berikutan kematian penyandang, Ir. Nawawi Ahmad tahun lalu.
Bagaimanapun bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Johari Baharom gagal membuat penampilan semula di Kubang Pasu, apabila tewas kepada penyandang jawatan Ketua Bahagian itu, Aminuddin Omar.
Turut menang adalah bekas Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim di Bahagian Baling, dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Jamil Khir Baharom di Jerai.
Pada pemilihan kali ini hanya Mahdzir Khalid menang tanpa bertanding di bahagian Padang Terap.
