Johari, Reezal tanding Naib Presiden UMNO

KUALA LUMPUR 24 Feb. –  Saingan bagi jawatan Naib Presiden UMNO semakin menjadi tumpuan apabila dua lagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, mengesahkan bertanding merebut jawatan itu pada pemilihan parti bulan depan..

Terbaharu, Johari Abdul Ghani, hari ini mengesahkan bertanding merebut jawatan No. 3 itu apabila Ahli Parlimen Titiwangsa itu menghantar borang pencalonannya di Auditorium UMNO di Menara Dato’ Onn pagi ini.

Johari adalah pemimpin parti keempat yang menyerahkan borang pencalonan bagi merebut tiga jawatan tertinggi UMNO itu, dengan tempoh pencalonan juga masih dibuka sehingga Ahad ini.

Sebelum ini, penyandang Naib Presiden iaitu Ahli Parlimen Kota Tinggi, Mohamed Khaled Nordin dan Mahdzir Khalid sudah menyerahkan borang pencalonan bagi mempertahankan jawatan masing-masing.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Bera, Ismail Sabri Yaakob, yang juga bekas Perdana Menteri belum memutuskan pendiriannya mengenai kedudukan jawatannya.

Selain itu, Ahli MKT, Reezal Merican Naina Merican turut menghantar pencalonannya bagi jawatan sama.

Menerusi satu hantaran poster, Reezal Merican memaklumkan beliau memutuskan demikian kerana atas rasa tanggungiawab untuk bersama kepemimpinan parti di setiap peringkat bagi mengembalikan kegemilangan UMNO tercinta ini.

Saingan bagi jawatan Naib Presiden UMNO menjadi tumpuan pada pemilihan UMNO kali ini, selepas dua jawatan utama, Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.

Selain itu, turut dijangka mengemukakan pencalonan bagi jawatan Naib Presiden, Ahli Parlimen Pengerang,  Azalina Othman Said dan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Dr Zambry Abdul Kadir.

Ahli Parlimen Lenggong,  Shamsul Anuar Nasarah dan Ahli Parlimen Simpang Renggam,  Ir Hasni Mohamad, juga dikatakan mengintai peluang sama.

Related posts

Leave a Comment