Mahdzir Khalid sah pertahan jawatan Naib Presiden

KUALA LUMPUR 23 Feb. –  Naib Presiden UMNO, Mahdzir Khalid, hari ini, mengesahkan akan mempertahankan jawatan yang disandangnya pada Pemilihan UMNO 2023 pada Mac ini.

Beliau mengumumkan hasratnya untuk mempertahankan jawatan yang dimenangi pada 2018 itu bagi penggal kedua pada sidang media khas pengumuman calon Naib Presiden UMNO di Hotel Seri Pacific di sini, hari ini.

“Untuk sesi pemilihan tahun ini, saya dengan sukacitanya mengumumkan akan mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO untuk penggal kedua.

“Ketika ini UMNO dalam situasi yang sangat mencabar, saya mengambil pendirian untuk meneruskan perjuangan dan khidmat bakti untuk parti dan menawarkan diri bersama-sama saf kepemimpinan tertinggi Presiden dan Timbalan Presiden,” katanya.

Sebelum sidang media berkenaan, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar itu telah menyerahkan borang pencalonan menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu di Menara Dato Onn di sini.

Dengan pengumuman itu, setakat ini dua penyandang Naib Presiden UMNO telah mengesahkan akan mempertahankan jawatan masing-masing selepas Mohamed Khaled Nordin turut menghantar borang pencalonan baru-baru ini.

Menurut Mahdzir, berbekalkan pengalamannya dalam politik dan pentadbiran sama ada di peringkat negeri dan Persekutuan, beliau mahu menggembeling semula semangat perjuangan parti keramat ini.

Dan bagi pemilihan kali ini, beliau membawa gagasan Kebersamaan Demi Perjuangan untuk didokong bersama oleh ahli-ahli UMNO di segenap peringkat.

“Sesungguhnya, dengan setiap sokongan dan dokongan yang diberi oleh ahli parti semua peringkat, perjuangan untuk UMNO tidak ada noktah pengakhiran bagi diri saya untuk terus berbakti, atas  semangat Kebersamaan Demi Perjuangan.

“Saya akan cuba yang terbaik untuk parti, agama, bangsa dan negara. Atas kepercayaan yang diberikan saya berazam dan beriltizam uhtuk sama-sama berikhtiar untuk UMNO kembali menjadi dinamik,” katanya.

Mengenai peluangnya, beliau merayu seluruh kepemimpinan pelbagai peringkat dapat  memberi kepercayaan kepadanya sekali lagi sebagai salah seorang Naib Presiden walaupun tidak lagi memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

“Jika parti ini sedang lemah, marilah kita sama-sama teguhkan kebersamaan, janakan kesatuan dan bulatkan tekad untuk memulihkan semula UMNO. UMNO memerlukan suntikan semangat agar kembali menjadi parti yang disegani orang Melayu,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan membentuk pasukan bersama calon lain, Mahdzir berkata setakat ini beliau ‘bersendirian’.

Related posts

Leave a Comment