KUALA LUMPUR 19 Feb. – Perebutan jawatan Ketua Pergerakan Puteri UMNO semakin menarik perhatian apabila Naib Ketua, Nurul Amal Mohd Fauzi tampil menawarkan diri bertanding jawatan yang kosong itu pada pemilihan 18 Mac ini.
Nurul Amal atau Kak Long (Along) berkata, keputusan beliau untuk bertanding jawatan berkenaan dibuat atas kehendak diri sendiri tanpa didorong oleh mana-mana pihak demi sayangkan UMNO.
Ketua Puteri UMNO Kubang Kerian itu merupakan calon keenam yang menawarkan diri setakat ini selepas penyandang, Datuk Zahida Zarikh Khan tidak lagi berpeluang mempertahankan jawatan itu atas faktor usia.
Turut bertanding adalah Setiausaha Puteri, Nurul Hazwani Haslan, Exco Puteri iaitu Dr. Masliha Harun dan Fadwah Anuwar, Ketua Puteri Pandan Wan Noor Akyilah Wan Shapuddin atau Sis Lin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Khaidirah Abu Zahar atau dikenali sebagai Dira.
Nurul Amal yang menyerahkan borang pencalonan di ibu pejabat parti hari ini berkata, setiap calon mempunyai kelebihan masing-masing dan terserah kepada perwakilan untuk memilih siapa yang layak menerajui pucuk pimpinan Puteri UMNO.
“Kita meraikan demokrasi dan saya mengharapkan semua calon juga begitu. Apa yang penting kita pertahankan perlembagaan parti,” katanya selepas menyerahkan borang pencalonan.
Bekas calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi kawasan Parlimen Kubang Kerian itu berkata, keputusan untuk bertanding adalah supaya Puteri tidak terpinggir dari agenda parti .
Along berkata, tidak perlu ada tembok penghalang suara Puteri untuk diketengahkan dan jika diberi peluang dan kepercayaan, menerajui sayap parti itu, beliau akan bersama-sama melaksanakan agenda yang memberi nafas baharu kepada parti.
“Jika kita bersama bergerak dalam satu pasukan, pastinya usaha dan pengorbanan akan membuahkan hasil yang bermanfaat dan berfaedah kepada semua, “ katanya.
Iltizam beliau untuk membangunkan wibawa Puteri UMNO sebagai sayap yang kompeten, berprestasi, dan disegani kawan dan lawan.
“Along lebih selesa jika kita sama sama menambah mana yang kurang , menjelaskan mana yang kabur dan mengukuhkan mana yang lemah, sekarang masa untuk kita bersatu dan bersama-sama,” katanya.
