KUALA TERENGGANU 3 Feb. – Bekas calon Parlimen Besut, Wan Nazari Wan Jusoh, mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang ) negeri, berkuat kuasa hari ini.
Beliau mengesahkan sudah menghantar surat peletakan jawatan sebagai Ketua Pejuang negeri kepada Presiden Parti, Mukhriz Mahathir, pertengahan bulan lalu.
Menurut laporan BH, peletakan jawatan itu tiada kaitan dengan kegagalan parti diasaskan bekas Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad memenangi kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
“Saya meletakkan jawatan disebabkan menghadapi masalah kesihatan selain memberi peluang kepada pemimpin lain menerajui parti di peringkat negeri,” katanya.
Pada PRU15 lalu, Wan Nazari hanya memperoleh 553 undi melalui pertandingan empat penjuru selepas hanya memperoleh 553 undi.
Kerusi Parlimen Besut dimenangi calon Pas, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dengan majoriti 18,666 undi menewaskan tiga calon termasuk Nawi Mohamad (BN) dan Abd Rahman Aziz Abas (PH) serta Wan Nazari.
Turut melepaskan jawatan adalah bekas calon Pejuang Parlimen Setiu, Wan Adnan Wan Ali yang meletak jawatan sebagai Pengerusi Pejuang Setiu, berkuat kuasa hari ini.
Pada PRU15 lalu, Wan Adnan yang juga bekas Ketua Logistik Pejuang negeri hanya memperoleh 203 undi.
Sementara itu, Setiausaha Pejuang negeri, Mohd Sahabudin Yusuf mengesahkan peletakan jawatan daripada Wan Nazari dan Wan Adnan.
Bagaimanapun, katanya, pimpinan tertinggi Pejuang belum memutuskan sama ada menerima atau sebaliknya peletakan jawatan Wan Nazari.
