3.92 juta lawat Jepun sepanjang Oktober

TOKYO – Kira-kira 3.91 juta orang pelancong asing berkunjung ke Jepun sepanjang Oktober, meningkat 0.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, mencatatkan satu rekod bulanan baharu.

Bagaimanapun jumlah pelancong China terus mencatatkan penurunan sementara ketibaan pelancong dari negara Asia selain China, serta Eropah dan Amerika Utara, kekal kukuh.

Menurut Pertubuhan Pelancongan Kebangsaan Jepun (JNTO), Oktober menjadi antara bulan popular untuk melawat Jepun kerana ia menandakan permulaan musim dedaun  luruh.

Selain itu, permintaan turut meningkat berikutan cuti hujung minggu panjang dan cuti persekolahan di luar negara, sekali gus menyumbang kepada peningkatan jumlah pelawat dari banyak negara berbanding tahun sebelumnya.

Mengikut negara dan wilayah, Korea Selatan mendahului senarai dengan kira-kira 1.04 juta pelawat, meningkat 19.4 peratus, diikuti Taiwan dengan 634,600 pelawat, meningkat 6.5 peratus, menurut organisasi itu.

Sementara itu, jumlah pelawat dari China merosot 47.0 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 379,500 orang, sekali gus mencatatkan penurunan tahun ke tahun untuk bulan ke-11 berturut-turut.

Hubungan China-Jepun kekal tegang selepas Perdana Menteri Jepun Sanae Takaichi pada November 2025 membayangkan bahawa serangan Beijing terhadap Taiwan yang memerintah sendiri boleh mencetuskan tindak balas daripada pasukan pertahanan Jepun bagi menyokong Amerika Syarikat. 

China menganggap Taiwan sebagai wilayahnya yang berpisah dan perlu disatukan semula dengan tanah besar, termasuk melalui penggunaan kekerasan jika perlu.

Related posts

Leave a Comment