Setengah juta kanak- kanak kesejukan

LONDON – Lebih setengah juta kanak-kanak di Semenanjung Gaza tidak mempunyai tempat perlindungan yang selamat akibat sekatan Israel, ketika ribut musim sejuk pertama di wilayah itu menyebabkan puluhan ribu khemah ditenggelami banjir hanya dalam tempoh sehari.

Menurut sebuah kumpulan hak asasi Save the Children yang berpangkalan di United Kingdom (UK), kejadian itu berlaku dalam tempoh sehari ketika mereka berlindung di dalam khemah yang koyak atau tempat perlindungan sementara

.Malah ramai terpaksa membakar sampah untuk memanaskan badan, susulan sekatan Israel yang terus menghalang kemasukan bahan diperlukan bagi melindungi mereka daripada cuaca sejuk dan banjir.

Ribut yang melanda Gaza pada  Jumaat malam menyebabkan lebih 70,000 khemah ditenggelami banjir dan puluhan tembok yang rosak.

Save the Children berkata pada Ahad kira-kira 58 peratus penduduk Gaza, atau 1.2 juta orang termasuk lebih 560,000 kanak-kanak, kini tinggal dalam keadaan tempat perlindungan yang dikategorikan sebagai “kritikal atau malapetaka”.

Menurut Save the Children,  sekatan yang dikenakan Rejim Zionis turut mengehadkan kemasukan barangan penting lain untuk menghadapi musim sejuk.

Barangan itu termasuk khemah, kanvas kalis air, kepingan plastik, bahan penebat, selimut, bahan api, gas memasak, peralatan pemanas dan bahan binaan yang diperlukan untuk membaiki tempat perlindungan yang rosak.

Kumpulan itu berkata 11 kanak-kanak dilaporkan meninggal dunia akibat hipotermia di wilayah itu pada tahun lepas.

Pengarah Serantau Save the Children International Ahmad Alhendawi berkata, kanak-kanak menggigil dalam kesejukan tanpa pakaian musim sejuk manakala keluarga kehilangan barangan yang masih tinggal pada mereka.

“Keadaan ini amat menyayat hati dan sebenarnya boleh dijangka sepenuhnya,” katanya sambil menyatakan bahawa khemah, kit perlindungan dan bahan api masih menunggu di sempadan Gaza ketika kanak-kanak terpaksa tidur dalam air banjir kerana pihak berkuasa Israel menghalang kemasukan barangan berkenaan.

Related posts

Leave a Comment