DUN Bemban : Akar umbi DAP masih mengharap

JASIN 28 Okt. – Selepas DAP memutuskan tidak bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban kerana menilai kerusi itu sukar dimenangi, akar umbi parti itu di kawasan itu masih meluahkan kekecewaan terhadap keputusan tersebut.

Pakatan Harapan (PH) menyerahkan kerusi DUN Bemban kepada Bersatu yang  sebelum ini dimenangi parti berkenaan atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Menerusi kenyataan Pusat Khidmat DAP DUN Bemban, wakil ahli dan penyokong parti itu merayu kepemimpinan DAP dan PH mempertimbangkan semula keputusan berkenaan, mengambil kira sentimen akar umbi serta rekod sokongan pengundi.

Mereka mendakwa keputusan itu menimbulkan kekecewaan, bukan sahaja dalam kalangan ahli dan penyokong di Bemban, malah di kawasan lain dalam Parlimen Jasin memandangkan ia kerusi tunggal yang ditandingi DAP di Parlimen berkenaan.

Keputusan itu dakwa mereka menyebabkan ramai penyokong dan ahli akar umbi merasakan suara serta usaha mereka selama ini dalam memperkukuh sokongan terhadap DAP dan PH tidak diberikan pertimbangan sewajarnya.

Lebih membimbangkan, kenyataan itu mendakwa, terdapat penyokong yang menyatakan hasrat untuk tidak keluar mengundi pada PRN akan datang susulan kekecewaan berkenaan.

Mereka turut bimbang keputusan itu boleh menyebabkan sebahagian ahli DAP di Jasin meninggalkan parti, manakala penyokong setia PH menjauhkan diri daripada gabungan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, sentimen akar umbi tidak seharusnya dipandang ringan kerana boleh menjejaskan semangat jentera pilihan raya serta tahap penyertaan pengundi yang selama ini menyokong PH.

Mereka juga berpandangan prestasi calon PH di DUN Bemban pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) wajar dipertimbangkan dalam menentukan pembahagian kerusi negeri kali ini.

“Kami memahami setiap keputusan pembahagian kerusi membabitkan pertimbangan dan strategi politik lebih luas. Namun keputusan strategik juga perlu mengambil kira sentimen akar umbi, sejarah perjuangan parti di kawasan berkenaan serta kesan terhadap sokongan jangka panjang kepada PH,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, mereka sekali lagi merayu kepemimpinan DAP dan PH membuka ruang untuk menilai semula keputusan berkenaan demi memelihara keyakinan ahli, penyokong dan pengundi.

Semalam, Pengarah Pilihan Raya PH, Amirudin Shari berkata, parti komponen perlu menghormati keputusan gabungan itu menyerahkan kerusi DUN Bemban kepada calon Bersatu pada pilihan raya Negeri Melaka.

Menurutnya keputusan itu dibuat mengambil kira faktor persefahaman antara PH dan Bersatu pada pilihan raya itu, selain ketetapan itu dibuat secara kolektif oleh gabungan itu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebelum ini berkata, keputusan itu dibuat secara strategik bagi memastikan kekuatan, sumber dan tumpuan parti dapat disalurkan kepada tujuh kerusi yang ditandingi.

“Jadi kita telah menilai kerusi Bemban itu memang sukar untuk dimenangi pada pilihan raya kali ini.

“Kalau mengikut rekod keputusan kita pada pilihan raya lalu, Bemban merupakan satu-satunya kerusi yang kita tandingi pada pilihan raya lepas di mana kita berada di kedudukan yang ketiga (undi) Bukan kedua pun, kita mendapat ketiga,” katanya.

Setakat ini, BN juga tidak meletakkan calon di Bemban sebaliknya menyerahkan kepada PN memutuskan calon dalam kalangan parti gabungan itu.

Berikutan itu, DUN Bemban dijangka menjadi rebutan sekurang-kurangnya tiga calon yang mewakili PN, Bersatu dan Bersama tanpa kehadiran dua gabungan parti utama PH dan BN.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment