Mesir sedia hantar tentera bantu Saudi

KAHERAH – Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi meminta satu sidang tergempar Parlimen diadakan bagi memberi kebenaran kepada angkatan tenteranya membantu Arab Saudi menghadapi serangan kumpulan Houthi yang disokong Iran di Yaman.

Katanya, Mesir sedia memberi apa saja sokongan yang diperlukan Arab Saudi bagi mempertahankan keselamatan dan kestabilannya, melindungi sumbernya, keutuhan wilayah serta tapak suci Islam.

Pejabat Presiden Mesir mengeluarkan kenyataan itu selepas mesyuarat Majlis Pertahanan Negara Mesir yang dipengerusikan al-Sisi dan turut dihadiri Speaker Parlimen, Perdana Menteri serta panglima tentera.

Pada Sabtu, Sisi berkata, Mesir akan bertindak selaras dengan panduan Raja Arab Saudi, Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed Salman, yang mengunjunginya pada 15 September selepas pertempuran di Yaman kembali tercetus.

Puak Houthi sejak kebelakangan ini memperhebat serangan terhadap negara pengeksport minyak terbesar dunia itu selain menguasai lebih banyak wilayah di Yaman.

Houthi sebelum ini melancarkan serangan terhadap lapangan terbang antarabangsa Riyadh dan syarikat minyak negara Arab Saudi, Aramco.

Mesir dan Arab Saudi mempunyai hubungan strategik serta ekonomi yang rapat.

Arab Saudi bersama beberapa negara Teluk yang kaya dengan minyak sebelum ini menyalurkan bantuan bernilai berbilion dolar, deposit bank pusat serta pelaburan kepada Mesir susulan penggulingan Presiden Mohamed Morsi oleh tentera pada 2013.

Mesir juga pernah menyertai pakatan diketuai Arab Saudi yang campur tangan dalam konflik Yaman pada 2015 bagi menyokong kerajaan negara itu dalam menentang Houthi.

Nnn

Related posts

Leave a Comment