KAMPALA – Seorang wartawan dan penyampai berita veteran yang berkhidmat dalam bidang penyiaran selama lebih dua dekad, kini bergelar Raja Edward Rukidi Kijanangoma Nyabongo I, selepas ditabal sebagai Raja Kerajaan Tooro di Uganda.
Edward Rukidi Kijanangoma, 56 yang terkenal sebagai penyampai dan editor di penyiar milik kerajaan ditabal sebagai Raja Kerajaan Tooro, menamatkan pertikaian pewarisan takhta yang tercetus selepas kemangkatan pemerintah terdahulu.
Beliau menggantikan Raja Oyo Nyimba Kabamba Iguru Rukidi IV, yang mangkat bulan lalu akibat kanser pada usia 34 tahun.
Raja Oyo pernah mencipta sejarah sebagai antara raja termuda di dunia apabila menaiki takhta pada 1995 ketika berusia tiga tahun berikutan kemangkatan ayahandanya.
Kijanangoma yang dilahirkan pada 1970 di Fort Portal dan mendiang Raja Oyo merupakan sepupu serta cucu kepada Raja George David Matthew Kamurasi Rukidi III, pemerintah ke-11 Kerajaan Tooro.
Beliau memiliki ijazah komunikasi massa daripada Universiti Makerere dan berkhidmat dalam bidang penyiaran selama lebih dua dekad, termasuk dengan Uganda Broadcasting Corporation (UBC).
Penabalan Kijanangoma turut mendapat sokongan kerajaan Uganda, termasuk Presiden Yoweri Museveni, yang menghadiri upacara rasmi tersebut.
Selepas diumumkan sebagai raja, Kijanangoma berjanji untuk memperkukuh perpaduan dan memajukan masyarakat Tooro serta meminta kerjasama rakyat,kerana katanya beliau tidak boleh melaksanakan tugas ini seorang diri.
Kerajaan Tooro merupakan satu daripada empat kerajaan tradisional yang diiktiraf secara rasmi di Uganda.
Sementara itu, ibu mendiang Raja Oyo, Ratu Best Kemigisa, dilaporkan membantah keputusan itu kerana mendakwa Raja Oyo meninggalkan seorang anak lelaki dan wasiat yang menyatakan anak itu sebagai pewaris takhta.
Bagaimanapun, anak tersebut tidak pernah diperkenalkan kepada umum dan tidak diiktiraf oleh jawatankuasa pewarisan daripada puak diraja Babiito yang bertanggungjawab memilih raja baharu.
