KUALA LUMPUR 8 Sept. – Pemikiran dan ijtihad ulama terdahulu seperti Dr Yusuf al-Qaradawi wajar dijadikan panduan dalam mendepani realiti kehidupan umat Islam pada masa kini, terutama behubung perbezaan pandangan.
Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Dusuki Ahmad berkata, karya Dr Yusuf al-Qaradawi banyak menzahirkan ajaran Islam dalam bentuk yang asli, murni dan segar, selain penekanan terhadap pengurusan perbezaan pendapat dalam kalangan umat.
“Antara perkara yang selalu disebut ialah kita bekerjasama dalam perkara yang dipersetujui dan kita bertolak ansur dalam perkara yang berbeza pendapat.
“Jauhkan daripada taasub kepada peribadi, mazhab dan golongan. Janganlah kita sentiasa mencari dan membentuk pihak-pihak yang bertentangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Dewan Tun Dr Ismail, hari ini.
Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia, itu menampilkan tiga panelis undangan iaitu Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Melaka Abdul Halim Tawil dan Pengasas Pondok Rumi Sufi Jawi Ahmad Faiz Hafizuddin Rosli.
Dusuki berkata, perbezaan pendapat atau ikhtilaf merupakan perkara yang berlaku di mana-mana dan merangkumi pelbagai bidang kehidupan, bukan sahaja di Malaysia malah di seluruh dunia.
Bagaimanapun apa yang lebih penting ialah umat Islam mempunyai kebijaksanaan untuk membezakan antara ikhtilaf yang dibenarkan dengan perpecahan (tafarruq) yang ditegah.
Tegasnya, perbezaan pandangan dalam kalangan umat Islam perlu diurus dengan ilmu, hikmah dan sikap saling menghormati, bukannya dijadikan alasan untuk mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
Tambahnya lagi, kefahaman terhadap kaedah tersebut amat penting supaya umat Islam tidak mudah terheret dalam perbalahan dan pertelingkahan yang akhirnya merugikan semua pihak.
“Sekiranya kaedah-kaedah ini dapat difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian, sudah tentu tidak timbul lagi istilah yang sengit dan panas dalam kalangan kita.
“Sebaliknya, perbezaan pandangan dapat diurus dengan ilmu, adab dan kebijaksanaan demi mencapai penyatuan umat,” ujarnya.
Nnnn
