Runding perlu ikhlas, bukan ugutan, gertakan

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Sebarang perundingan UMNO dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam pilihan raya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan dan gertakan.

Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) memberi mandat kepada kepimpinan parti di peringkat negeri untuk mengadakan perbincangan dan rundingan itu.

Bagaimanapun, katanya, sebarang rundingan bagi menjalin kerjasama pilihan raya perlu berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan atau gertakan.

“Mesyuarat juga bersetuju untuk kepimpinan UMNO negeri melakukan perbincangan dan perundingan dengan parti-parti politik yang mahu bekerjasama dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Sebarang perundingan dengan mana-mana parti untuk menjalinkan kerjasama dalam pilihan raya akan datang mesti berteraskan keikhlasan dan kepercayaan, bukannya ugutan atau gertakan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau juga berkata, UMNO menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang (Rule of Law) mesti sentiasa dihormati dan dijunjung, termasuk dalam sebarang tindakan penguatkuasaan terhadap individu yang sedang disiasat.

“Seseorang tidak boleh dianggap bersalah selagi belum didakwa, dibicarakan dan disabitkan kesalahannya oleh mahkamah yang mempunyai bidang kuasa.

“Sebarang tindakan untuk memalukan atau mengaibkan seseorang, termasuk membentuk persepsi seolah-olah individu yang baru ditahan bagi tujuan siasatan sudah melakukan kesalahan, bertentangan dengan prinsip keadilan dan anggapan tidak bersalah (Presumption of Innocence),” katanya.

Asyraf Wajdi berkata, UMNO kekal konsisten bahawa parti itu tidak akan mempertahankan sebarang salah laku, penyelewengan atau penyimpangan yang dilakukan mana-mana pihak, termasuk ahli dan kepimpinan parti.

Katanya, mana-mana individu yang terbabit dengan salah laku perlu dihadapkan ke muka pengadilan mengikut proses undang-undang.

Asyraf Wajdi berkata UMNO turut mengambil maklum pelbagai dapatan kajian empirikal oleh agensi, penyelidik dan ahli akademik berhubung sentimen rakyat, khususnya orang Melayu.

Katanya, kajian berkenaan antara lain menunjukkan harapan rakyat supaya penyatuan ummah dapat direalisasikan, selain kepentingan Melayu menjadi teras kepada kestabilan politik negara.

Mesyuarat malam semalam turut menyaksikan pelantikan dan upacara angkat sumpah Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim sebagai Ahli MKT UMNO yang baharu.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment