PARIS – Dasar Israel di wilayah Palestin yang diduduki yang didakwa mengancam peluang penubuhan sebuah negara Palestin pada masa depan mendorong 102 bekas diplomat Perancis dan United Kingdom (UK) menggesa kedua-dua negara mengenakan sekatan bersama terhadap Israel.
Kumpulan itu menerusi surat terbuka yang diterbitkan oleh akhbar Le Monde,
menyeru Paris dan London bertindak bersama bagi mempertahankan undang-undang antarabangsa di Palestin serta memastikan hak yang sama diberikan kepada rakyat Israel dan Palestin.
Turut menandatangani surat itu ialah bekas duta UK ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jeremy Greenstock dan Emyr Jones Parry, selain beberapa bekas pegawai kanan diplomatik Perancis yang berpengalaman luas di Asia Barat.
Kumpulan itu mendakwa perobohan rumah penduduk Palestin dan keganasan peneroka Israel di Tebing Barat yang diduduki semakin memburukkan keadaan, malah boleh menjejaskan prospek penyelesaian dua negara.
Dalam pada itu bekas Duta UK ke Iran, Qatar dan Yemen, Nicholas Hopton, berkata kenyataan dalam surat itu berpandukan penilaian badan antarabangsa dan agensi PBB yang memantau situasi di wilayah Palestin.
Katanya, kebimbangan utama ketika ini adalah perluasan penempatan haram Israel di Tebing Barat yang berpotensi menghalang pembentukan sebuah negara Palestin yang berdaya maju.
Surat itu turut mencadangkan larangan perdagangan dengan penempatan Israel di wilayah yang diduduki, sekatan pembelian hartanah di tanah Palestin yang diduduki, serta jaminan akses kemanusiaan ke Gaza melalui agensi-agensi PBB.
Dalam pada itu, surat tersebut turut menggesa kepimpinan Palestin memperkukuhkan tadbir urus dan memastikan negara Palestin yang diiktiraf masyarakat antarabangsa kekal demokratik serta mematuhi undang-undang.
Nnnn
