Pulanglah, tunaikan amanah sebagai pengundi

SEREMBAN “Pulanglah, tunaikan amanah, dan jadilah sebahagian daripada sejarah perubahan,” demikian rayuan calon PH bagi kerusi DUN Ampangan Datuk Muhammad Nazri Kassim kepada anak-anak Ampangan di perantauan.

Lebih mesra dengan panggilan Tok Naz, beliau mengakui perjalanan pulang mungkin mengambil masa dan memerlukan pengorbanan, tetapi dengan satu undi akan menentukan hala tuju Ampangan untuk lima tahun akan datang.

“Jangan serahkan masa depan kampung halaman kita kepada orang lain,” katanya menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Negeri Sembilan esok, 1 Ogos 2026.

Tok Naz yang akan mempertahankan kerusi yang dikuasai PH selama dua penggal akan dicabar Dr Mohamad Rafie Abd Malek (PN-Pas) dan Azzah Harun (Bersatu).

Rafie, bekas ADUN PH-PKR tahun 2018, tidak dipilih semula pada 2023 tetapi bertanding atas tiket Bebas dengan memperoleh 3,079 undi, tewas kepada Tengku Zamrah Tengku Sulaiman (PH-PKR) yang memperoleh 6,054 undi manakala calon PN Muhammad Ghazali Zainal Abidin 5,725 undi.

Dalam pada itu, Tok Naz anak kelahiran Ampangan mengimbau kembali kenangan ke pusat mengundi bersama Almarhum abahnya, Kassim Rembawi.

“Masih segar dalam ingatan saat kami melangkah bersama ke pusat mengundi ini. Tidak pernah saya sangka, itulah kali terakhir kami menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat bersama-sama.

Esok, saya akan kembali ke tempat yang sama, SKKGV. Hati ini sebak mengenangkan kenangan bersama arwah Abah. Beliaulah yang mengajar saya bahawa setiap undi bukan sekadar hak, tetapi satu amanah untuk menentukan masa depan anak cucu kita,” katanya.

Sebagai anak Ampangan, beliau berharap dapat memberi sumbangan kepada masyarakat setempat.

“Jika Allah mengizinkan dan warga Ampangan memberikan kepercayaan kepada saya, di bumi inilah juga saya ingin menabur bakti, menjadi suara rakyat dan memperjuangkan kebajikan setiap warga Ampangan tanpa mengira latar belakang.

Dengan penuh rasa rendah diri, saya memohon doa, sokongan dan kepercayaan daripada seluruh warga Ampangan. Insya-Allah, saya akan memikul amanah ini dengan penuh keikhlasan,” katanya yang turut mengajak pengundi keluar mengundi.

Related posts

Leave a Comment