RON97, RON95 Naik 20 sen

PUTRAJAYA – Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi meningkat 20 sen seliter, manakala diesel tanpa subsidi meningkat 35 sen seliter bagi tempoh 23 hingga 29 Julai 2026, berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

Berikutan itu, harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi tempoh tersebut adalah RM4.20 seliter bagi RON97, RM3.62 seliter bagi RON95 tanpa subsidi dan RM4.42 seliter bagi diesel tanpa subsidi.

Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa harga produk petroleum tanpa subsidi dipengaruhi oleh pergerakan pasaran minyak dunia pada minggu terdahulu.

Menurut MoF, harga minyak mentah Brent meningkat sebanyak 16 peratus sepanjang minggu lalu apabila konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali memuncak selepas berakhirnya tempoh gencatan senjata.

Sekatan terhadap perkapalan serta pengurangan aliran kapal melalui Selat Hormuz telah meningkatkan kebimbangan terhadap gangguan bekalan petroleum global.

“Kenaikan harga minyak mentah turut didorong oleh paras inventori global yang semakin ketat serta ancaman gangguan terhadap penghantaran minyak dari Arab Saudi,” kata MoF.

Menurut Kementerian Kewangan, walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.

“Merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi,” kata MoF.

Related posts

Leave a Comment