SEPANG 29 Jun – Putra menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan menubuhkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor 11 Julai ini lebih-lebih lagi UMNO bukan sekadar sebuah parti tetapi menjadi sebahagian daripada sejarah keluarga dan jiwa politik orang Johor.
Presiden Putra, Ibrahim Ali berkata, beliau juga menjangkakan DAP akan terus mempertahankan sebahagian besar kawasan tradisinya khususnya di kawasan bandar manakala Bersatu PN akan menjadi pembangkang.
Katanya, Putra yang tidak bertanding menyatakan sokongan terbuka kepada 16 calon Bersatu sebagai rakan strategik dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR), yang turut dianggotai Pas, Gerakan, MIPP, Berjasa, Pejuang, Muda, MAP, Iman dan Urimai.
“Sokongan dalam politik bukan semata-mata diukur daripada jumlah bendera, bas atau petugas yang dibawa tetapi juga daripada keberanian menyatakan pendirian dan kesetiaan kepada sahabat seperjuangan dalam IPR.
“Atas prinsip itu, Putra memberikan sokongan penuh kepada Bersatu PN dan merayu pengundi di 16 DUN Bersatu bertanding memberi undi bagi menentukan kemenangan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan.
Mengenai arahan Pas supaya ahli dan penyokongnya mengundi calon UMNO-BN di kerusi yang tidak ditandingi PN, Ibrahim mendakwa ia lebih merupakan usaha mencari laba, ibarat lembu punya susu, sapi dapat nama.
Katanya, Pas sebelum ini hanya memenangi satu daripada 15 kerusi yang ditandinginya.
“Oleh itu, janganlah nanti apabila UMNO menang, Pas pula datang membawa bakul untuk mendakwa kemenangan tersebut berlaku kerana arahan ahli mereka mengundi Pas,” katanya.
Bagaimanapun, kemenangan UMNO tidak bermakna Johor tidak memerlukan pembangkang yang kuat kerana kerajaan yang kuat tanpa semak dan imbang akhirnya boleh menjadi selesa, leka dan semakin jauh daripada suara rakyat.
Justeru setiap kerusi yang dimenangi Bersatu akan menjadi suara tekanan untuk memeriksa kerajaan, mempertahankan kepentingan rakyat dan memastikan Dewan Negeri Johor tidak hanya dipenuhi suara yang mengangguk, “yes man” dan kaki bodek.
Katanya, Bersatu yang sedang menghadapi krisis dengan tekanan Pas boleh menjadi blok pembangkang yang berani, berwibawa dan dihormati.
Mengenai tindakan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi keluar daripada UMNO, beliau tidak melihat perkara itu akan memberikan kesan besar kepada UMNO Johor yang jauh lebih besar daripada seorang Puad Zarkashi.
“Tindakannya bukan gempa bumi politik dan bukan juga gelombang yang akan mengubah keputusan pilihan raya. Paling kuat, ia hanya bunyi sebuah pintu ditutup, yang akhirnya derita seorang diri seperti yang pernah saya alami pada Era Abdullah Ahmad Badawi selepas disingkirkan daripada ketua bahagian,” katanya.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, walau apa pun keputusan pilihan raya itu nanti, rakyat Johor tetap bertuah kerana negeri itu dipayungi oleh Institusi Diraja Johor yang sangat dekat dengan rakyat.
“Sultan Ibrahim dan Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sentiasa memperlihatkan keprihatinan terhadap pentadbiran, pembangunan dan kebajikan Bangsa Johor.
Kadangkala ketegasan titah diraja disalah tafsir oleh segelintir pihak, sedangkan ketegasan itulah yang memastikan kerajaan tidak tidur lena dan rakyat tidak dilupakan.
Sesiapa sahaja mentadbir Negeri Johor, rakyat tetap mendapat pembelaan dari Institusi Diraja Negeri Johor tanpa mengira kawasan DUN kerajaan atau pembangkang,” katamnya.
Nnnn
