Hasina ikrar pulang ke Bangladesh

NEW DELHI – Bekas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina yang sedang dalam buruan dan dijatuhkan hukuman mati secara ‘in absentia’ pada November tahun lalu berikrar akan pulang ke negaranya pada tahun ini.

Menurut temu bual disiarkan, semalam, Hasina, 78 yang melarikan diri ke negara jiran, India, pada Ogos 2024 membuat kenyataan itu beberapa bulan selepas dijatuhi hukuman mati atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan.

Hasina melarikan diri selepas kebangkitan diterajui pelajar menamatkan pemerintahan ‘kuku besi’ selama 15 tahun oleh beliau.

Dalam temu bual dengan penyiar India, NDTV, Hasina yang tidak gentar berdepan kematian menyifatkan keputusan mahkamah terhadapnya sebagai ‘sebahagian daripada proses yang menyalahi undang-undang, tidak berperlembagaan dan bermotifkan politik’.

“Saya ingin menyatakan dengan jelas… selepas mengatasi setiap halangan dan konspirasi, saya akan kembali ke negara saya, tahun ini,” katanya ketika menjawab soalan sama ada akan pulang meskipun berdepan hukuman mati.

Pada November tahun lalu, mahkamah di Dhaka mendapati Hasina bersalah atas pertuduhan menghasut, mengarahkan pembunuhan, serta gagal mengambil tindakan bagi menghalang kekejaman, sebelum dijatuhkan hukuman mati.

Related posts

Leave a Comment