PEMADAM gesa kuat kuasa Akta 852

SEPANG 17 Jun – Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) menggesa supaya Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dikuatkuasakan secara lebih menyeluruh dan bersepadu bagi membendung penggunaan vape dan penyalahgunaan bahan terlarang.

Pengerusi Biro Keluarga dan Pembangunan Masyarakat PEMADAM Jamelah A Bakar berkata, perkembangan penggunaan vape yang semakin meluas, khususnya dalam kalangan remaja dan dewasa amat membimbangkan yang memerlukan
tindakan yang lebih tegas.

Katanya , berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS), penggunaan rokok elektronik/vape dalam kalangan individu berumur 15 tahun ke atas meningkat daripada 0.8 peratus pada 2011 kepada 5.8 peratus pada 2023.

“Peningkatan ketara ini memerlukan perhatian serius semua pihak dan lebih membimbangkan, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat laporan mengenai penyalahgunaan vape dengan mencampurkan bahan psikoaktif dan dadah sintetik yang boleh menyebabkan ketagihan serius, perubahan tingkah laku, gangguan kesihatan mental dan risiko kematian,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Jamelah, vape bukan lagi sekadar isu nikotin, tetapi berpotensi menjadi medium penyalahgunaan bahan terlarang yang lebih kompleks dan berbahaya.

Justeru pendekatan penguatkuasaan yang lebih menyeluruh dan bersepadu perlu menjadi keutamaan dan PEMADAM percaya bahawa Akta 852 telah menyediakan asas perundangan yang kukuh untuk mengawal produk merokok termasuk vape.

Selain itu, pemantauan terhadap kandungan produk vape yang berada di pasaran juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan tiada bahan terlarang, bahan psikoaktif atau dadah sintetik disalahgunakan melalui produk tersebut.

Pada masa yang sama, promosi dan pengiklanan yang menyasarkan golongan muda perlu dibendung secara lebih berkesan.

Tegasnya, keutamaan ialah memastikan penguatkuasaannya diperkasakan secara konsisten dan berterusan melalui kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), institusi pendidikan, ibu bapa dan masyarakat.

“Ancaman vape dan penyalahgunaan dadah tidak boleh dipandang ringan.
Tindakan pencegahan yang berkesan hari ini akan menentukan keselamatan dan kesejahteraan generasi muda pada masa hadapan,” katanya.

Dalam pada itu PEMADAM mengambil maklum kenyataan yang dikeluarkan berhubung keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk meneruskan proses rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan pengecualian cecair dan gel nikotin daripada Senarai Racun.

PEMADAM menghormati hak mana-mana pihak untuk menggunakan saluran perundangan yang diperuntukkan oleh undang-undang, termasuk proses rayuan yang sedang berjalan.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment