TOKYO – Seperti dijangka, penutupan Selat Hormuz, susulan serangan tambahan yang dilancarkan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran menyebabkan harga minyak global meningkat lebih AS$2 setong.
Niaga hadapan minyak Brent naik AS$2.30 atau 2.47 peratus kepada AS$95.40 setong, manakala minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) Amerika Syarikat meningkat AS$2.60 atau 2.89 peratus kepada AS$92.63 setong.
Harga minyak mentah AS sebelum itu melonjak lebih AS$3 dalam sesi dagangan.
Pemerintahan Tertinggi Bersama Tentera Iran mengumumkan penutupan Selat Hormuz pada Khamis, termasuk kepada kapal tangki minyak dan kapal komersial, namun, tentera AS menerusi platform X pada Rabu memaklumkan bahawa kapal komersial masih terus keluar masuk melalui selat berkenaan.
Tentera AS turut menegaskan tiada kapal perang Amerika diserang di kawasan selat itu, selepas media kerajaan Iran melaporkan kapal-kapal AS berhampiran laluan tersebut menjadi sasaran peluru berpandu dan dron.
Pasukan tentera AS mula melancarkan serangan tambahan terhadap beberapa sasaran di Iran pada jam 5.15 petang waktu EDT (9.15 malam GMT), dalam perkembangan terbaru siri serangan balas yang semakin memuncak dan berisiko mencetuskan semula perang berskala penuh.
Konflik itu sebelum ini dihentikan sementara pada awal April selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan gencatan senjata yang rapuh.
Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (EIA) pula melaporkan stok minyak mentah negara itu susut sebanyak 7.2 juta tong kepada 426.5 juta tong bagi minggu berakhir 5 Jun.
