ISTANBUL – Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mengecam serangan udara yang mengorbankan anggota tentera Lubnan di selatan negara itu, yang disifatkan sebagai pelanggaran terhadap kedaulatan Lubnan dan resolusi penting Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam kenyataan yang disiarkan menerusi platform media sosial X, UNIFIL merakamkan ucapan takziah kepada Angkatan Tentera Lubnan serta keluarga anggota tentera yang dilaporkan terbunuh dalam serangan di kawasan Nabatieh.
“Serangan sedemikian di wilayah Lubnan merupakan pelanggaran serius terhadap kedaulatan, integriti wilayah Lubnan dan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan PBB,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu pihak berkuasa Lubnan memaklumkan bahawa satu serangan Israel mengenai sebuah kenderaan tentera di selatan Lubnan, mengorbankan dua pegawai dan seorang anggota tentera.
Presiden Lubnan Joseph Aoun mengecam serangan itu sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Lubnan dan undang-undang antarabangsa, manakala Perdana Menteri Nawaf Salam menyifatkannya sebagai jenayah terhadap Lubnan dan rakyatnya.
Tentera Israel mengakui menyasarkan kenderaan berkenaan dan memaklumkan bahawa insiden itu sedang disiasat.
Tentera Israel mendakwa kenderaan itu bergerak dalam keadaan mencurigakan berhampiran pasukannya di kawasan yang dikesan mempunyai aktiviti Hezbollah.
