ALOR GAJAH 5 Jun – Tunku Nadzaruddin Tuanku Jaafar dimasyhurkan oleh Undang Yang Empat sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-12 dalam satu majlis yang dilangsungkan di sebuah resort di sini, hari ini.
Pertabalan diisytiharkan dalam majlis ringkas oleh Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad yang mewakili Undang Yang Empat.
“Bahawasanya selaras dengan Perkara 11 Undang-undang Tubuh Negeri Sembilan 1959, kami Yang Teramat Mulia Undang Yang Empat dengan kuasa yang ada pada kami berkenaan memilih dan memasyhurkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan, Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12, berkuat kuasa serta-merta.
“Bersesuaian dengan pengisytiharan Undang Yang Empat yang dilakukan pada 19 April 2026. Sekian dimaklumkan,” katanya ketika pengisytiharan itu.
Pengisytiharan itu kemudiannya disambut Tunku Nadzaruddin.
“Bahawasanya beta Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar menjunjung kasih kepada Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin serta Datuk Syahbandar Sungai Ujong atas pemilihan dan pemasyhuran beta sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan ke-12,” katanya.
Majlis itu disusuli dengan bacaan doa dan laungan “Daulat Tuanku” oleh hadirin.
Turut hadir ahli politik veteran Rais Yatim, yang juga pengkaji adat perpatih serta bekas menteri besar Negeri Sembilan lebih 40 tahun lalu.
April lalu, empat undang, termasuk Mubarak (Sungai Ujong) yang kedudukannya dipertikai, mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz dan mengisytiharkan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baru berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar Aminuddin Harun bagaimanapun menegaskan pemecatan Tuanku Muhriz tidak sah dan tidak diiktiraf atas alasan Mubarak yang membuat pengisytiharan tiada kuasa sah sebagai Undang.
Terdahulu media melaporkan berlaku kekecohan di pintu utama Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin pagi ini apabila dua Undang dihalang pihak polis daripada memasuki premis berkenaan.
Insiden itu berlaku apabila Undang Luak Johol dan Jelebu tiba untuk menghadiri satu sidang khas bersama pemimpin adat negeri yang lain, dikatakan bagi membincangkan dan menamatkan pertikaian diraja Negeri Sembilan yang berlarutan.
Kekecohan terbabit berlangsung kira-kira 10 minit sebelum Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri datang ke pintu utama menemui pegawai.
Syed Razman memberitahu pegawai kanan itu bahawa dia sudah bercakap dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Ketua Polis Negara, Mohd Khalid Ismail, yang dikatakan mengarahkan polis tidak menghalang undang berkenaan masuk.
Undang Luak akhirnya dibenarkan memasuki premis itu namun mereka terpaksa memendekkan perjumpaan berkenaan kerana ketiadaan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar yang dinamakan sebagai “Yang Dipertuan Besar baharu”.
Sehubungan itu majlis berkenaan ditukar ke hotel berkenaan yang pada awalnya turut menyaksikan Undang Yang Empat turut dihalang mengadakan pertemuan dengan Tunku Nadzaruddin.
Nnn
