Bersatulah keluarga besar PN

DATO DR IBRAHIM ALI
PRESIDEN PUTRA

 

1. Saya menulis ini sebagai orang kerdil dalam politik tapi ada sedikit pengalaman melalui penglibatan pelbagai pergolakan dan peristiwa politik tanah air dan bukan sebagai orang yang buta membaca gerak kuasa. Pas ialah parti Islam yang matang dan berpengalaman. Bersatu pula lahir daripada keresahan rakyat terhadap politik lama, dengan pengalaman pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pas ada jentera dan disiplin akar umbi. Bersatu ada pengalaman kerajaan dan jaringan kuasa. Dua kekuatan ini kalau digabungkan boleh menumbangkan kerajaan Madani yang hiruk piruk. Kalau dipecahkan sesama sendiri, lawan hanya perlu tersenyum. Ada pendapat yang boleh diterima, PN amat mudah menawan Putrajaya jika PN benar-benar bersatu teguh kerana kebencian rakyat terhadap PMX, DAP, UMNO dan Amanah atas berbagaibagai isu yang memang teruk Tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia sejak Merdeka.

2. Dalam perjuangan Islam, kemenangan bukan hanya tentang siapa paling kuat bercakap. Islam mengajar menjaga saf sebelum mengejar kemenangan. Saf yang bocor biasanya bukan kalah kerana musuh terlalu kuat, tetapi kerana orang sendiri membuka ruang kepada musuh. Sebab itu Pas dan Bersatu jangan sampai melihat kawan sendiri lebih besar bahayanya daripada musuh sebenar.

3. Pas mesti ingat, bila rakyat melihat sesama sahabat dalam PN saling sindir dan saling serang, rakyat bukan sahaja menilai politik Pas, tetapi menilai wajah perjuangan Islam yang Pas bawa. Bersatu pula jangan melayan serangan dengan emosi. Kadang-kadang orang yang paling banyak membalas bukan nampak kuat, tetapi nampak hilang sabar. Dalam keadaan begini, yang paling tenang akan menang moral di mata rakyat.

4. Jangan terlalu mudah percaya PH dan UMNO benar-benar akan berpecah. Dalam politik, gaduh di pentas tidak semestinya bermusuh di bilik rundingan. Ahmad Zahid Hamidi tidak mudah meninggalkan Anwar Ibrahim kerana UMNO masih bergantung kepada nafas Putrajaya. Anwar pula tidak mudah membuang UMNO kerana tanpa UMNO, kerajaan Madani kehilangan tongkat Melayu paling penting.

5. Sebab itu pergaduhan PH dan UMNO boleh jadi hanya retak terkawal untuk menghilangkan label UMDAP. UMNO mahu penyokong Melayu percaya mereka masih melawan DAP. DAP pula mahu penyokong mereka percaya DAP masih berani menekan UMNO. Sedangkan kerajaan tetap berjalan, kuasa tetap dikongsi dan rundingan tetap berlaku. Jangan sampai PN termakan wayang lawan lalu memecahkan rumah sendiri.

6. Ada orang berkata Pas boleh bergerak dengan reset baharu bersama Hamzah Zainudin. Saya tidak menolak kehebatan sesiapa, tetapi politik pilihan raya bukan hanya bergantung kepada siapa ada angka MP hari ini sahaja. Bila Parlimen dibubarkan, semua angka itu hilang. Yang tinggal ialah jentera, struktur, logo, emosi pengundi, calon, wang dan keyakinan rakyat. Meninggalkan PN demi sesuatu yang belum cukup akar ialah perjudian besar.

7. Begitu juga bisikan Muafakat Nasional 2.0 antara Pas dan UMNO. Itu lebih mudah disebut daripada dijayakan. Luka akar umbi Pas dan UMNO bukan boleh disapu dengan satu sidang media. Tambahan pula medan politik baharu sudah ada BERSAMA Rafizi yang lebih agresif menarik pengundi muda dan atas pagar. Kalau pembangkang berpecah banyak blok, PH-BN akan mendapat hadiah terbesar daripada pecahan undi Melayu sendiri.

8. Akhirnya saya merayu kepada seluruh Majlis Pimpinan PN dan penyokong akar umbi, tidak perlulah masing-masing berlumba menjadi hero sampai terlupa rumah sendiri sedang dibakar. Setiap kata-kata panas sedang dikutip cybertrooper lawan sebagai peluru percuma. Jika PRU16 nanti PH dan sekutunya menang walaupun sarat kelemahan, jangan terkejut kalau puncanya bukan kerana mereka terlalu kuat, tetapi kerana PN sendiri gagal menjaga lidah, gagal menjaga saf dan gagal membezakan antara melawan musuh dengan mencederakan kawan sendiri.Rupa-rupanya pepatah Melayu zaman dulu masih releven, menang sorak kampung tergadai (rasa kuat tapi kalah) bunyi guruh di langit, tapi hujan tak turun atau ayam berkokok, tapi hari tak siang.Rasa kuat dan hebat,tapi gagal rampas Putrajaya PRU16.Sebabnya masing-masing hilang akal yang waras.Ini adalah luahan nasihat Tok Him manusia kerdil bersama Parti Putra yg dilabel kecil tapi berjiwa besar dan sentiasa berlapang dada, tidak hipokrit dan sentiasa rendah diri dalam kelantangan perjuangan demi bangsaku Melayu, rakyat Malaysia dan negara yg sedang hancur akibat madanon yang munafik.*Bersatulah wahai keluarga besar PN jika ingin merampas Putrajaya demi Rakyat Malaysia yang mahukan kerajaan yang berintegriti dan berakhlak*.

Maaf jika terkasar bahasa tapi ikhlas dan sejujurnya.

Nnn

 

Related posts

Leave a Comment