BUNIA – Medecins Sans Frontieres (MSF), organisasi perubatan antarabangsa berkata penyebaran pantas wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DR Congo) kini berada pada tahap “sangat membimbangkan”.
Timbalan Pengarah MSF, Dr Alan Gonzales berkata, hanya dua minggu selepas wabak itu diisytiharkan, jumlah kes yang direkodkan meningkat dengan begitu cepat sehingga ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
“Tidak pernah sebelum ini wabak Ebola merekodkan begitu banyak kes dalam tempoh yang begitu singkat selepas ia diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut angka terkini, lebih 1,000 kes disyaki Ebola telah dilaporkan di DR Congo dengan sekurang-kurangnya 246 kematian, manakala negara jiran Uganda turut merekodkan sembilan kes disahkan dan satu kematian.
MSF memberi amaran bahawa kadar tindak balas terhadap wabak itu masih belum setanding dengan kelajuan penyebaran virus.
Menurut Gonzales, keadaan sebenar wabak tersebut masih belum diketahui sepenuhnya kerana kes baharu dilaporkan setiap hari, sementara ratusan sampel masih belum diuji.
Beliau turut mendedahkan bahawa usaha pembendungan dan pengagihan bantuan kemanusiaan kini berdepan kekangan besar, termasuk penutupan sempadan dan lapangan terbang yang melambatkan kemasukan bekalan serta tenaga pakar.
Sementara itu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus tiba di wilayah Ituri, pusat penularan wabak, bagi menilai situasi dan menyelaraskan usaha pembendungan virus di lapangan.
Katanya, lawatan itu bertujuan melihat keberkesanan tindak balas semasa serta mengenal pasti cabaran yang dihadapi dalam usaha mengawal penularan penyakit tersebut.
Dalam lawatannya ke Bunia, ibu negeri wilayah Ituri, Tedros menekankan kepentingan penglibatan komuniti setempat dalam memerangi Ebola kerana lebih memahami cabaran yang dihadapi dan berpotensi memainkan peranan penting dalam menghentikan rantaian jangkitan.
Tedros bagaimanapun turut mengingatkan tentang risiko penularan melalui amalan tradisional, khususnya ketika pengurusan mayat.
Katanya, amalan seperti menyentuh mayat mangsa Ebola boleh menyebarkan virus dengan lebih cepat.
“Walaupun kita berduka, kita mesti mengelakkan kehilangan nyawa yang lebih banyak,” katanya.
Nnnnn
