Bubar DUN bagi selesaikan krisis

SEREMBAN 24 Mei – Membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis politik yang berlaku di Negeri Sembilan, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.

Loke berkata pihaknya sudah memberikan pandangan dan cadangan itu kepada Menteri Besar merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Aminuddin Harun dan sudah dijelaskan pada Konvensyen PH di Johor minggu lalu.

“Mesej kita di Konvensyen PH di Johor sangat jelas bahawa Negeri Sembilan bersedia untuk mengadakan pilihan raya serentak dengan Johor. Kalau Johor (DUN) dibubarkan pada waktu terdekat, mungkin juga (DUN) Negeri Sembilan akan dibubarkan.

Bagaimanapun itu, terpulang kepada YAB Menteri Besar, saya hanya bagi cadangan dan Menteri Besar kena buat keputusan selepas merujuk kepada kepemimpinan tertinggi PH, Perdana Menteri dan seterusnya mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Jadi, itu proses dia, apa pun peringkat PH Negeri Sembilan perlu bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan (PRN),” kata Menteri Pengangkutan itu selepas Majlis Hi-Tea dan Penyampaian Insentif Kepada Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Peringkat Parlimen Seremban, di Dewan di sini, hari ini.

Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata, krisis politik di Negeri Sembilan ketika ini tidak wajar berlarutan dan perlu diselesaikan.

“Kalau kita teruskan begini pun susah kerana kita pun tidak tahu kadangkala ada sokongan tapi kemungkinan pada bila-bila masa sokongan itu ditarik balik.

“Jadi, adalah lebih baik Pilihan Raya Negeri diadakan untuk mengembalikan mandat kepada rakyat. Itu telah jelas kita buat ketetapan itu dan mesej itu yang kita sampaikan minggu lalu iaitu sebagai satu pilihan PH Negeri Sembilan bubarkan DUN sama dengan Johor supaya diadakan pilihan raya serentak.

“Jika kita buat negeri saja, mungkin ia akan memakan kos dan sebagainya, sudah tentu ada kos tambahan, tapi kalau bersekali dengan Johor atau dengan Melaka sekali, dapat dikurangkan, kemungkinan ketiga-tiga negeri ini selatan adakan pilihan raya serentak, Itu kemungkinan,” katanya.

Mengenai cadangan Barisan Nasional (BN) terutama di Johor untuk bertanding semua kerusi pada PRN akan datang, Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan itu berkata, perkara itu juga sudah dinyatakan bahawa PH akan bertanding semua kerusi termasuk di Negeri Sembilan.

“Mereka (BN) dah nyatakan dan kita (PH) pun sudah nyatakan hasrat kita (untuk bertanding semua kerusi). Di Negeri Sembilan pun kita nyatakan hasrat untuk bertanding semua kerusi,” katanya.

Jumaat lalu, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, berpandangan membubarkan DUN Negeri Sembilan dilihat sebagai langkah terbaik bagi menyelesaikan krisis politik yang sedang berlaku di negeri ini.

Menteri Luar itu dilaporkan berkata langkah itu dapat mengembalikan mandat kepada rakyat untuk membuat keputusan siapa yang terbaik untuk mentadbir negeri ini.

Sebelum ini, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, mengumumkan kesemua 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu dan BN sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap Aminuddin susulan krisis yang membabitkan institusi adat dan perlembagaan negeri.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment