PBB bimbang pembersihan etnik

NEW YORK – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terus menyuarakan kebimbangan kemungkinan berlakunya pembersihan etnik di seluruh wilayah Palestin dan Tebing Barat yang diduduki.

Justeru, PBB menggesa Israel menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai di Gaza, di mana menurut laporan bahawa perang Israel di wilayah Gaza itu adalah genosid, dengan hampir 73,000 orang dilaporkan terbunuh.

Laporan yang menyiasat tindakan ketenteraan Israel sehingga Mei 2025 dan diterbitkan oleh Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, merumuskan, Israel melakukan pelanggaran serius undang-undang kemanusiaan antarabangsa, yang dalam banyak kes mungkin bersamaan dengan jenayah perang serta kekejaman lain.

Menurut laporan PBB itu,  walaupun tentera Israel bertindak membebaskan tebusan dan sebahagian serangan dilakukan ke atas sasaran ketenteraan, namun kebanyakan pembunuhan yang berlaku disifatkan menyalahi undang-undang.

Perang yang dilancarkan pada 7 Oktober 2023 itu mengorbankan kira-kira 1,200 orang dan menyaksikan 240 individu dijadikan tawanan.

Ia dihentikan melalui gencatan senjata pada Oktober lalu tetapi tentera Israel dilaporkan masih mengekalkan kawalan keselamatan yang ketat dan dalam tempoh tujuh bulan kebelakangan ini, ratusan lagi dipercayai terbunuh.

Badan pemantau konflik memberi amaran bahawa sejak gencatan senjata dengan Iran dicapai bulan lalu, pengeboman Israel ke atas Semenanjung Gaza semakin meningkat.

Serbuan ganas oleh peneroka dan tentera di Tebing Barat juga dilaporkan turut bertambah.

Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB, Volker Turk, menggesa Israel menghalang tindakan pembunuhan beramai-ramai dan memastikan rakyat Palestin yang dipindahkan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing selain menamatkan kehadiran haramnya di wilayah Palestin.

Laporan itu juga mengecam Hamas dan kumpulan bersenjata Palestin lain atas pelanggaran hak asasi manusia antarabangsa … pembunuhan tidak sah, selain menggesa kumpulan itu menghentikan pelancaran peluru berpandu secara rambang.

Related posts

Leave a Comment