SEPANG 1 Mei – Setiap penganjuran program perlu berteraskan prinsip yang jelas dan tidak boleh mengetepikan nilai, adab, sensitiviti agama serta norma masyarakat tempatan, kata Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, pihaknya mengambil serius pandangan yang dikemukakan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
“Pandangan ini wajar dihormati kerana ia mencerminkan kegusaran sebahagian besar rakyat Malaysia.
“Sebab itu, kami telah meminta supaya program seumpama ini diteliti semula dari segi konsep, kandungan dan pelaksanaannya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Timbalan Perdana Menteri tidak menyatakan program berkenaan secara khusus tetapi dipercayai merujuk Program Rain Rave Water Music Festival 2026 yang sedang berlangsung di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Sehubungan itu, Ahamd Zahid berkata, garis panduan sesebuah program juga perlu diperkemas dan diperketatkan supaya setiap penganjuran selari dengan nilai budaya, agama dan identiti negara.
“Prinsip UMNO dalam soal hiburan jelas iaitu tidak salah untuk berhibur, namun perlu mempunyai batas.
“Kemajuan boleh diteruskan, tetapi nilai tidak boleh tergugat. Penganjur wajar berbincang dengan pihak berkuasa agar keharmonian masyarakat terus terpelihara,” katanya.
Beliau menegaskan, pendirian tersebut merupakan ketetapan rasmi UMNO dalam isu berkenaan.
Terdahulu, penganjuran Program Rain Rave Water Music Festival 2026 di Kuala Lumpur mencetuskan polemik apabila ia didakwa berpotensi menjejaskan nilai dan sensitiviti masyarakat tempatan.
Jawi dalam kenyataan pada Khamis turut membantah penganjuran program berkenaan yang dilihat boleh membawa kepada kemudaratan akhlak dan keruntuhan nilai masyarakat.
Jawi juga menzahirkan kekesalan serta menggesa pihak penganjur menilai semula konsep pelaksanaan program dengan mengambil kira sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.
Selain itu, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan menerusi Bayan Linnas Siri Ke-351 menegaskan bahawa Islam tidak menolak hiburan secara mutlak, namun ia perlu tertakluk kepada garis panduan syarak serta tidak mengandungi unsur maksiat.
Nnnn
