ATHENS – Puluhan aktivis yang ditahan selepas dipintas tentera Israel dalam misi flotila bantuan menuju Gaza di perairan antarabangsa berhampiran Crete akan dibawa ke Greece.
Menteri Luar Israel, Gideon Saar, menerusi platform X, mengucapkan terima kasih kepada Greece atas ‘kesediaannya menerima peserta flotila’.
“Dengan penyelarasan bersama kerajaan Greece, individu yang dipindahkan daripada kapal flotila ke kapal Israel akan diturunkan di sebuah pantai Greece dalam beberapa jam akan datang,” katanya
Kementerian Luar Israel sebelum ini menyatakan kira-kira 175 aktivis telah dipindahkan daripada lebih 20 bot.
Flotila berkenaan adalah usaha terbaharu oleh aktivis pro-Palestin untuk memecahkan sekatan Israel ke atas Gaza, dengan penganjur menyatakan jumlah yang ditahan ialah 211 orang, termasuk seorang ahli majlis bandar raya Paris.
Penganjur flotila terbaharu itu pada awal Khamis mengumumkan bahawa bot mereka telah dikepung oleh kapal tentera Israel ketika berada di perairan berhampiran pantai Crete.
“Bot kami dihampiri bot laju tentera yang mengenal pasti diri sebagai ‘Israel’, menghalakan laser dan senjata serangan separa automatik serta mengarahkan peserta ke bahagian hadapan bot dan berlutut,” menurut Global Sumud Flotilla.
Kira-kira 30 bot daripada flotila itu masih dalam perjalanan, kebanyakannya kini berada di perairan wilayah Greece di selatan Crete, menurut sumber sama.
