SEPANG 28 April – Pakatan Harapan (PH) menolak keras langkah pengkhianatan yang dilakukan UMNO / Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan untuk cuba ‘menebuk atap’ dan mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.
Pengarah Komunikasi PH, Fahmi Fadzil berkata tindakan itu jelas tidak menghayati semangat Kerajaan Perpaduan.
“Pakatan Harapan (PH) menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan yang menarik sokongan kepada kerajaan negeri baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Fahmi berkata, alasan tindakan 14 ADUN berkenaan tidak terkait sama sekali dengan prestasi Menteri Besar, Aminuddin Harun.
“Tindakan berkenaan dilakukan tanpa mempedulikan kebajikan rakyat, malah dilakukan pada ketika Kerajaan Perpaduan dan negara berdepan dengan krisis bekalan global, dan berusaha menguruskan ekonomi serta mengurangkan beban yang dihadapi rakyat,” katanya.
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata PH memberi komitmen bahawa seperti yang sudah disembah maklum oleh Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Anwar Ibrahim kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang pentadbiran kerajaan negeri berjalan seperti biasa.
“PH akan kekal memberi kerjasama kepada kepimpinan kerajaan negeri demi kestabilan ekonomi negeri dan kebajikan rakyat. PH juga akan terus mempertahan peranan dan fungsi institusi Raja-Raja Melayu,” katanya
