SEREMBAN 28 April – Tidak timbul isu mahu menjadi Menteri Besar dan menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’ susulan tindakan Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap kepemimpinan Aminuddin Harun semalam.
Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias berkata, keputusan memilih jawatan Menteri Besar bukan terletak dalam tangan UMNO, sebaliknya diputuskan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
“Ini bukan matlamat kita. Saya sudah pun menjadi EXCO kanan dan perbincangan kita bukan nak jadi Menteri Besar dan saya bukan nak jadi Menteri Besar.
“Sesiapa saja boleh menjadi Menteri Besar, saya boleh, Datuk Mohd Faizal Ramli (ADUN Linggi) boleh, Datuk Mustapha Nagoor (ADUN Palong) boleh. Jangan salah faham,” katanya pada sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Pengerusi BN Negeri itu turut mempertahankan keputusan menarik sokongan terhadap Aminuddin dan menjelaskan ia bukannya tindakan ‘tebuk atap’ kerana istilah ‘tebuk atap’ ialah daripada pembangkang mahu menjadi kerajaan.
“Sekarang kita (UMNO/BN) adalah kerajaan, tak ada sebab kita nak tebuk atap. Ini demi mempertahankan prinsip perjuangan parti,” katanya.
Beliau turut menolak dakwaan langkah itu sebagai strategi politik terancang untuk menumbangkan Menteri Besar atau kerajaan negeri kerana jika BN berniat demikian, ia mempunyai keupayaan untuk bertindak lebih awal.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pertang merangkap Ahli Parlimen Jelebu itu berkata keputusan 14 ADUN UMNO/BN Negeri Sembilan itu diambil bagi mempertahankan prinsip parti serta mengelakkan campur tangan politik dalam hal berkaitan institusi raja dan adat di negeri ini.
Tegasnya lagi, keputusan itu juga dibuat selepas meneliti kemelut membabitkan institusi adat dan perlembagaan yang gagal ditangani pentadbiran negeri sehingga mencetuskan perdebatan terbuka, termasuk di media sosial.
“Isunya ialah kegagalan Menteri Besar untuk menguruskan hal ehwal berkaitan institusi, adat dan perlembagaan sehingga membawa kepada krisis diraja sekarang. Soal dewan (sidang DUN) ditangguh atau tidak, itu soal lain,” katanya.
Jalaluddin juga memaklumkan pihaknya sudah menghantar permohonan untuk mengadap Tuanku Muhriz untuk memaklumkan mengenai penarikan sokongan terhadap Menteri Besar, petang semalam itu.
“Buat masa ini, saya belum lagi dititah mengadap baginda dan bersedia pada bila-bila masa,” katanya.
Mengenai kenyataan Aminuddin yang memaklumkan kerajaan negeri mempunyai masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) seterusnya, Jalaluddin berkata satu sidang khas perlu diadakan dalam masa terdekat bagi mengembalikan semula kestabilan politik di Negeri Sembilan.
“Jika mereka (kerajaan negeri) bertahan sehingga enam bulan, kerajaan akan diurus dalam keadaan yang tidak stabil, sangat tidak pasti dan pelbagai masalah akan timbul.
“Untuk kestabilan negeri dan kerajaan, saya berpandangan supaya sidang DUN khas mesti dipanggil oleh Yang Dipertua Dewan. Ia untuk memutuskan segala krisis politik yang berlaku untuk kestabilan dan kepentingan kerajaan,” katanya.
Beliau juga berpandangan, langkah terbaik ketika ini adalah membubarkan DUN, seterusnya kembalikan mandat kepada rakyat bagi memastikan kestabilan pentadbiran negeri dapat dipulihkan.
“Pada asasnya, apabila (kemelut) ini berlaku, saya fikir eloklah kita serahkan balik kepada rakyat untuk buat mandat baharu yang mana DUN harus dibubarkan,” katanya.
Bagaimanapun, kata Jalaluddin, keputusan akhir bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Ditanya langkah UMNO/BN negeri seterusnya dan mengenai kerajaan minoriti diterajui Aminuddin, beliau berkata, pihaknya akan mengambil tindakan menerusi proses perundangan dan perlembagaan yang betul.
“Sepanjang pengetahuan saya, tiada istilah kerajaan minoriti,” katanya menambah lebih banyak krisis akan timbul apabila kerajaan negeri tidak mempunyai sekurang-kurangnya majoriti mudah di DUN, seperti kelulusan dasar dan perbelanjaan selain pelaksanaan program kerajaan.
“Tidak mungkin kita boleh menjalankan pentadbiran kerajaan negeri dengan sokongan minoriti kerana banyak perkara boleh dipertikaikan. Kamu tidak mempunyai bilangan sokongan mencukupi, jadi akan menimbulkan lebih banyak krisis pada masa depan,” katanya.
Semalam, Aminuddin yang juga ADUN PKR Sikamat dilaporkkan berkata, Pakatan Harapan (PH) akan meneruskan pentadbiran kerajaan negeri dengan sokongan minoriti di DUN selepas menerima nasihat Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Nnnnn
