PUTRAJAYA 28 April – Anwar Ibrahim menyokong titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, supaya Aminuddin Harun terus menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.
Perdana Menteri berkata, sokongan itu demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri, memelihara kepentingan rakyat serta menjunjung kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa.
Anwar berkata, beliau sudah menghadap, Tuanku Muhriz, malam tadi bagi membincangkan perkembangan membabitkan institusi Raja dan pentadbiran kerajaan negeri, selain menjunjung kasih atas kebijaksanaan Tuanku dalam menangani perkara ini.
“Dalam pertemuan itu, saya menyokong titah Duli Tuanku supaya Datuk Seri Aminuddin terus menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri Besar.
Saya yakin berdasarkan pengalaman dan khidmat cemerlang, beliau akan terus menjalankan tugas dengan sempurna,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan persoalan membabitkan institusi Undang di Negeri Sembilan sedang ditangani melalui saluran serta proses yang sah serta kebijaksanaan Undang.
Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan akan terus memberikan kerjasama penuh untuk memastikan kelangsungan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
“Dalam apa jua keadaan, keluhuran institusi raja dan undang-undang negeri mesti terus dipelihara serta dipertahankan,” katanya.
Anwar turut menyeru rakyat khususnya di Negeri Sembilan terus berhemah, beradab dan menjaga ketertiban terutama dalam membicarakan ehwal institusi raja dan undang-undang negeri.
Sebelum ini, bekas Undang Luak Sungei Ujong, Datuk Mubarak Dohak dilaporkan dilucutkan jawatan sebagai penyandang pesaka Datuk Klana Petra Undang Luak Sungei Ujong ke-10 selepas didakwa melanggar hukum syarak dan adat.
Ia dibuat berdasarkan pengumuman rasmi oleh Tua Lembaga Waris di-Darat, Datuk Andulika Mandalika Zainol Ariffin Ibrahim, selepas mendapat persetujuan serta keizinan Ibu Soko Klana Hulu dan Anak Waris Klana Hulu.
Menurut kenyataan rasmi pada akhir bulan lalu, keputusan itu dibuat selepas satu mesyuarat diadakan di Telaga Undang Sungei Ujong pada 1 April 2025.
Mubarak kemudian dilapor menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Balai Undang Luak Sungei Ujong.
Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri dilapor berkata, tindakan Mubarak menandatangani dan membacakan pengisytiharan menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan tidak boleh diterima dan tidak diiktiraf kerajaan negeri.
Ini kerana, Mubarak didakwa tidak lagi mempunyai kuasa dan fungsi sebagai Undang Luak Sungei Ujong selain tidak selaras dengan Perkara 10 hingga 12, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).
Nnnn
